Optimis pertumbuhan di Brunei

Optimis pertumbuhan di Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Dengan keadaan ekonomi global yang lembap dan harga minyak yang rendah, Bank Standard Chartered (SCB) Brunei terus optimistik dengan peluang perniagaan dan pertumbuhan bagi bank berkenaan di Brunei pada 2016.

Bukan sahaja SCB Brunei optimis bahawa bank itu dapat mencatatkan pertumbuhan dalam keadaan ekonomi pada masa ini namun ia juga melihat terdapat pelbagai peluang yang nyata dalam pasaran bagi pelbagai bidang perbankan termasuk perbankan runcit, korporat dan juga sektor institusi perbankan.

Sentimen positif perbankan itu dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Rino Donosepoetro dalam temu bual bersama Media Permata semasa Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Bank Standard Chartered yang berlangsung di Emperor’s Court, Hua Ho Manggis Mall, hari ini.

Di samping itu, Rino berkata bahawa SCB akan terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi dengan memperkasakan lagi sektor perusahaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata bahawa bank berkenaan menyediakan kemudahan pembiayaan bagi para usahawan PKS untuk mendapatkan bantuan pembiayaan yang menarik bagi mereka yang memenuhi syarat dan terma yang ditetapkan.

Rino amat optimistik dengan peluang perniagaan dan pertumbuhan bukan sahaja bagi bank berkenaan tetapi juga bagi usaha negara untuk mempelbagaikan ekonomi pada 2016.
Rino amat optimistik dengan peluang perniagaan dan pertumbuhan bukan sahaja bagi bank berkenaan tetapi juga bagi usaha negara untuk mempelbagaikan ekonomi pada 2016.

Dengan kedudukan SCB sebagai satu-satunya bank antarabangsa yang mempunyai cawangan dan beroperasi di negara-negara anggota ASEAN dengan ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai rantau berkenaan, beliau yakin SCB mampu membantu dalam usaha bagi perusahaan tempatan untuk menerokai atau memasuki pasaran ASEAN.

Rino juga menyatakan bahawa perjanjian TPPA yang dimeterai baru-baru ini, juga membuka peluang bagi perusahaan dan usahawan-usahawan tempatan untuk menerokai pasaran yang lebih besar di luar negara.

Sering kali, cabaran yang dihadapi oleh perusahaan tempatan adalah saiz pasaran tempatan, oleh itu tambah Rino lagi, perusahaan tempatan harus merebut peluang yang ada dengan menerokai pasaran yang lebih besar dengan memasuki pasaran luar negara.

“Bank SCB mempunyai pelbagai sumber dan perkhidmatan yang mampu dimanfaatkan oleh pengusaha dan usahawan tempatan yang ingin untuk memasuki pasaran luar negara.

Dengan pengalaman dan kedudukan SCB di kesemua negara ASEAN, kami boleh membantu usahawan tempatan dalam usaha mereka untuk meneroka pasaran baru itu.”

Menyentuh mengenai dengan iklim pelaburan di Brunei, Rino berkata bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai beberapa kekuatan yang menjadikan ia sebagai destinasi pelaburan asing yang menarik.

Di antara kekuatan itu, ulasnya lagi, ialah Brunei mempunyai kapital yang kukuh serta industri perbankan yang mantap dan juga penduduk yang berpendidikan tinggi yang amat menarik bagi pelabur-pelabur asing.

SCB juga komited untuk membantu dan menyokong agenda pembangunan negara dalam menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke Negara Brunei Darussalam. Rino yakin dengan keupayaan SCB sebagai sebuah bank antarabangsa, ia mampu untuk mempromosikan Brunei sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik dan bank itu mempunyai beberapa perancangan bagi menarik pelabur-pelabur luar untuk melabur di Brunei.

“Bank Standard Chartered mempunyai sejarah yang lama di Brunei dengan ilmu pengetahuan tempatan yang mendalam dan kami akan terus mencari peluang pelaburan dan pembangunan. Dengan erti kata lain, kami tidak akan ke mana-mana dan kami akan terus berada di sini.”

Beliau juga berkata bank itu terus mempunyai sektor pengurusan harta yang kukuh dengan barisan produk yang ditawarkan serta juga ilmu pengetahuan teknikal mereka yang boleh membantu para pelanggan membuat keputusan pelaburan yang terbaik dan sesuai bagi diri mereka.

Mengulas mengenai produk-produk pelaburan dan simpanan baru yang ditawarkan oleh bank berkenaan, Rino menyatakan pihaknya mengetahui mengenai hasrat sebilangan besar rakyat Brunei yang ingin untuk menyimpan dan membuat pelaburan dan bagi mereka, SCB menawarkan produk Smart Saver terkini di mana mereka mampu untuk membuat simpanan dan pelaburan ke dalam dana-dana yang mereka pilih dengan simpanan serendah $100 sebulan.

Beliau percaya dengan menyediakan pilihan produk pelaburan dan perbankan yang memenuhi keperluan pelanggan-pelanggan yang berbeza, orang ramai boleh membuat pilihan yang bijak mengenai dengan produk simpanan atau pelaburan yang sesuai dan memenuhi keperluan mereka.

Rino juga menyatakan bahawa SCB Brunei amat mengalu-alukan penggubalan ke atas Notis-notis peraturan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang dikeluarkan pada 28 Oktober lalu di mana ia di percayai mampu untuk menjana sebuah pasaran kewangan pengguna (consumer) yang stabil, sihat dan seimbang.

Menyentuh mengenai perancangan masa terdekat bagi SCB Brunei, Rino menyatakan bahawa pihak bank sedang di dalam proses awal bagi penubuhan anak syarikat SCB di Negara Brunei Darussalam di mana usaha itu adalah selaras dengan pelan perkembangan dan juga komitmen bank berkenaan untuk terus beroperasi di Brunei.

“Kami amat yakin dengan peluang perniagaan yang terdapat di Brunei dan kami juga komited untuk membantu serta berkembang bersama Negara Brunei Darussalam.”

ARTIKEL YANG SAMA