Orang kita selamat

Orang kita selamat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar perutusan takziah kepada Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato Laila Joko Widodo atas serangan dan pengeboman di Jakarta yang berlaku hari ini.

Dalam perutusan takziah Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu, Baginda berasa terkejut mengetahui berita mengenai kejadian serangan dan pengeboman tersebut dan melahirkan simpati yang mendalam kepada Tuan Yang Terutama.

Negara Brunei Darussalam bersama-sama negara lain mengutuk serangan dan pengeboman berkenaan dan berdiri teguh bersama rakyat Indonesia dalam menghadapi keadaan yang menyedihkan ini.

Dalam kejadian serangan dan pengeboman di luar kawasan Gedung Sarinah di Jakarta, tujuh orang disahkan mati, lima daripadanya suspek penjenayah, manakala seorang warga asing dari Kanada dan seorang lagi orang awam.

Tiga belas orang lagi dilaporkan cedera parah termasuk lima orang anggota polis, menurut Menteri Koodinator Politik, Hukum dan Keamanan Luhut Pandjaitan.

Mayat-mayat kelihatan bergelimpangan di jalan raya ketika anggota polis Indonesia berselindung di sebalik sebuah kereta di Jakarta, 14 Januari. Militan melancarkan serangan dan pengeboman di tengah ibu negara Jakarta kelmarin, membunuh tujuh, kata polis. – Reuters
Mayat-mayat kelihatan bergelimpangan di jalan raya ketika anggota polis Indonesia berselindung di sebalik sebuah kereta di Jakarta, 14 Januari. Militan melancarkan serangan dan pengeboman di tengah ibu negara Jakarta kelmarin, membunuh tujuh, kata polis. – Reuters

Lima suspek penjenayah yang mati, tiga daripadanya ditembak polis manakala dua lagi membunuh diri di dalam dan depan restoran Starbucks di Bangunan Cakerawala yang terletak di Jalan MH Thamrin, seberang Gedung Sarinah.

Sementara itu, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Jakarta mengesahkan semua warga Negara Brunei Darussalam termasuk penuntut-penuntut yang berdaftar dengan kedutaan tidak berada di kawasan terjadinya letupan di Jakarta, Republik Indonesia berada dalam keadaan selamat dan baik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam menjelaskan mereka telah menghubungi semua warga negara Brunei termasuk penuntut-penuntut yang telah berdaftar dengan kedutaan itu.

“Alhamdulillah, semua warga Negara Brunei Darussalam termasuk penuntut-penuntut yang berdaftar dengan kedutaan ini tidak berada di kawasan terbabit dan berada dalam keadaan selamat dan baik,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak Kedutaan sentiasa memantau perkembangan mengenai kejadian tersebut.

Sekiranya terdapat warga Negara Brunei Darussalam yang memohon bantuan ataupun maklumat bolehlah menghubungi Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Jakarta, Republik Indonesia melalui nombor talian 0062 81280660134 atau 0062 81289217808 atau 0062 8118280030.

ARTIKEL YANG SAMA