Orang-orang istimewa tidak dilupa

Orang-orang istimewa tidak dilupa

Oleh Pg Fairol RMF & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Dalam kemeriahan bulan Syawal yang telah memasuki hari kesembilan, pelbagai pihak di negara ini juga tidak lupa untuk beramal dengan meraikan orang-orang istimewa seperti para pelajar di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Syarikat perkhidmatan penghantaran online, Foodpanda adalah antara yang tidak melepaskan peluang meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama para pelajar pusat berkenaan di Kampung Bengkurong, hari ini.

Seramai lebih daripada 60 orang pelajar berkeperluan khas dan 30 kakitangan Pusat Ehsan menghadiri majlis sambutan yang pertama kalinya dianjurkan oleh Foodpanda berkenaan, yang dipenuhi dengan hiburan dan jamuan tajaan Restoran Al-Baik.

Selain menyambut hari kemenangan itu, syarikat tersebut juga menyampaikan sumbangan barangan elektrik untuk kegunaan institusi tersebut yang disampaikan oleh Pengurus Operasi Peniaga Foodpanda, Awang Abdul Qawiem bin Haji Abdul Rahman kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat, Pengiran Datin Hajah Noraini binti PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin.

Majlis tersebut diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama maskot Foodpanda yang membawa senyuman kepada pelajar-pelajar Pusat Ehsan.

Antara pelajar Pusat Ehsan bergambar bersama maskot Foodpanda.
Antara pelajar Pusat Ehsan bergambar bersama maskot Foodpanda.
Haji Mohammad bersama isteri dan anak mereka.
Haji Mohammad bersama isteri dan anak mereka.

Manakala itu, bapa kepada salah seorang pelajar pusat berkenaan, Haji Mohammad bin Salleh pula telah menghoskan rumah terbuka untuk pelajar-pelajar Pusat Ehsan yang diadakan di kediamannya di Kampung Lambak Kanan, hari ini.

Lebih 100 orang pelajar termasuk kakitangan dan penjaga pelajar di pusat tersebut, menyertai kunjungan berhari raya berkenaan yang telah diadakan setiap tahun.

Dalam temu bual bersama media, Haji Mohammad menjelaskan, acara rumah terbuka khusus untuk Pusat Ehsan ini diadakan sejak 10 tahun lalu yang antara lain bertujuan untuk sama-sama berkongsi kegembiraan bersama pelajar-pelajar istimewa berkenaan.

Menurutnya lagi, rumah terbuka itu turut diadakan untuk berkongsi kegembiraan dan memberi peluang kepada pelajar istimewa merasakan dan menyambut hari raya seperti anak-anak yang biasa.

Anak lelaki beliau, Awang Muzhamrie bin Haji Mohammad, 32, kini mengikuti latihan vokasional di pusat berkenaan.

Di samping mengikuti latihan di pusat tersebut, Awang Muzhamrie juga aktif dalam acara sukan dan berjaya meraih beberapa pingat dalam pertandingan dalam dan luar negara selain aktif dalam acara berpersatuan.