Orang paling tua di dunia meninggal dunia

Orang paling tua di dunia meninggal dunia

DETROIT, 19 Jun (Reuters) – Jeralean Talley, orang yang diketahui paling tua di dunia, telah meninggal dunia di Michigan 26 hari selepas hari lahirnya yang ke 116 tahun, menurut jurucakap keluarganya semalam.

Talley, wanita yang dilahirkan pada 23 Mei 1899, telah naik ke tangga teratas dalam senarai yang disimpan oleh Kumpulan Penyelidik Gerontologi, yang mengesahkan usia-usia orang yang paling lama hidup di dunia, selepas Gertrude Weaver meninggal dunia pada usia 116 tahun di Arkansas pada April lalu.

Talley meninggal dunia pada malam Rabu di rumahnya di Inkster, pinggir bandar Detroit, yang dikongsikan bersama anak perempuannya, Thelma Holloway, 77 tahun, menurut Christonna Campbell, jurucakap keluarga itu.

“Dia adalah wanita yang baik,” kata Campbell. “Kami menyukai kata-kata bijaknya.”

Talley dilahirkan di Georgia dan berpindah ke Michigan pada tahun 1935 bersama suaminya, Alfred Talley, kerana pekerjaan suaminya di kilang Ford. Suaminya meninggal dunia pada tahun 1988.

Gambar fail menunjukkan Talley dibantu pergerakannya ketika menghadiri satu majlis meraikannya di Detroit, Amerika Syarikat. – Reuters
Gambar fail menunjukkan Talley dibantu pergerakannya ketika menghadiri satu majlis meraikannya di Detroit, Amerika Syarikat. – Reuters

Robert Young, pengarah Divisyen Pangkalan Data dan Penyelidikan Usia Seratus Tahun Kumpulan Penyelidikan Gerontologi, berkata kematian Talley adalah mengejutkan ketika dia menjalani gaya hidup aktif.

“Dia berjalan di sekitar beberapa minggu lalu,” kata Young.

Orang seterusnya yang mungkin diberi status sebagai orang paling tua di dunia ialah Sussannah Mushatt Jones yang berusia 115 tahun. Young berkata, dia dilahirkan di Alabama dan dia tinggal di Pusat Orang Tua Vandalia di Brooklyn, New York, seorang wakil pusat itu mengesahkan semalam.

Talley adalah anggota aktif di Gereja New Jerusalem Missionary Baptist di Inkster. Upacara pengebumian Talley akan diadakan pada 27 Jun di gereja berkenaan.