Origi masih perlu banyak belajar – Klopp

Origi masih perlu banyak belajar – Klopp

SOUTHAMPTON, 4 Dis (AFP) – Jurgen Klopp mengingatkan Divock Origi agar tidak berasa dia sudah cukup hebat selepas pemain antarabangsa Belgium itu memulakan jaringannya untuk Liverpool dengan menghasilkan tiga gol ketika mereka membelasah Southampton 6-1 dalam perlawanan suku akhir Piala Liga semalam.

Origi, 20, gagal menjaringkan gol dalam 10 penampilan sebelum ini sejak menyertai Liverpool pada awal musim ini berikutan perpindahannya pada 2014 dari Lille, di mana dia dipinjamkan sepanjang musim lalu.

Dia menyumbat tiga gol ketika Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk menghancurkan Southampton dengan kemenangan 6-1, sekali gus membawa pasukannya ke separuh akhir Piala Liga, tetapi Klopp berkata masih banyak perlu diperbaiki oleh pemain itu.

“Dia menunjukkan prestasi yang sangat bagus, tetapi dia masih muda dan perlu belajar. Dia perlu bersabar. Dia perlu lebih banyak berlatih,” kata Klopp, yang pasukannya akan berhadapan Stoke City dalam dua perlawanan separuh akhir.

Persembahan Origi membayangi rakannya di bahagian serangan Daniel Sturridge, yang kali pertama berada dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Klopp dengan menjaringkan dua gol yang mencetuskan kebangkitan Liverpool setelah Southampton mendahului seawal minit pertama menerusi tandukan penyerang Sadio Mane.

Klopp (kiri) mengingatkan Origi (kanan) agar belajar lebih banyak walaupun beraksi cemerlang semasa membelasah Southampton dalam perlawanan suku akhir Piala Liga kelmarin. – Reuters
Klopp (kiri) mengingatkan Origi (kanan) agar belajar lebih banyak walaupun beraksi cemerlang semasa membelasah Southampton dalam perlawanan suku akhir Piala Liga kelmarin. – Reuters

Sturridge menyumbat gol pertama dan kedua Liverpool selepas menerima hantaran cantik pemain tengah Joe Allen serta Emre Can, masing-masing pada minit ke-25 dan 29, untuk mengumpul empat gol daripada lima penampilan musim ini.

Penyerang kebangsaan England itu diketepikan sejak 4 Oktober lalu berikutan kecederaan yang dialami di kaki dan lutut, menyebabkan Klopp menyifatkan Sturridge terlalu sensitif kepada kesakitan.

Begitu pun, pengendali kelahiran Jerman itu amat teruja melihat Sturridge yang mempamerkan persembahan bertenaga untuk kali pertama.

“Saya kata kepada dia (Daniel) selepas tamat perlawanan: ‘Sekarang saya sudah tahu kenapa ramai orang memperkatakan tentang awak’,” kata Klopp.

Selepas Origi meletakkan Liverpool 3-1 di depan sebelum wisel rehat dibunyikan, jurulatih Southampton Ronald Koeman membuat perubahan dengan menukarkan tiga pemain di bahagian pertahanan.

Southampton bertambah parah apabila permainan bersambung, menyaksikan dalam tempoh 22 minit terakhir Origi sempat melengkapkan hatrik manakala Jordon Ibe menghasilkan gol terakhir.

Ini merupakan kekalahan paling teruk Southampton di laman sendiri selepas dibelasah Brentford 6-0 pada Mac 1959 dan Koeman berhasrat mengkaji semula strateginya menjelang pertembungan dengan Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu ini.

ARTIKEL YANG SAMA