Origi mula pamer aksi sebenar

Origi mula pamer aksi sebenar

LIVERPOOL, 11 April (AFP) – Liverpool menang mudah mengatasi Stoke City 4-1 sebentar tadi walaupun pengurus Juergen Klopp merehatkan beberapa pemain menjelang pertemuan kedua suku akhir Liga Europa awal pagi Jumaat ini berdepan bekas kelabnya, Borussia Dortmund.

Klopp melakukan tujuh pertukaran daripada skuad yang seri 1-1 di Jerman, memberikan penampilan pertama Liga Perdana kepada pemain remaja Kevin Stewart dan Sheyi Ojo.

Ojo membantu untuk jaringan kedua Daniel Sturridge dengan hantaran lintang baik dan selepas dia direhatkan selepas babak pertama, penggantinya Divock Origi menjaringkan dua gol.

Sebelum itu Alberto Moreno meletakkan pasukan tuan rumah di depan sebelum Bojan Krkic menyamakan kedudukan.

Dalam perlawanan tersebut, Pengurus Liverpool Jurgen Klopp percaya Divock Origi sudah mula menampakkan bakat istimewanya selepas penyerang antarabangsa Belgium itu menyumbat dua gol ketika The Reds menumbangkan Stoke City 4-1 di Anfield malam tadi.

Aksi Origi ketika menjaringkan gol ketiga buat Liverpool pada perlawanan di Anfield menentang Stoke City. Liverpool menang mudah mengatasi Stoke City 4-1. – Reuters
Aksi Origi ketika menjaringkan gol ketiga buat Liverpool pada perlawanan di Anfield menentang Stoke City. Liverpool menang mudah mengatasi Stoke City 4-1. – Reuters

Sebelum itu, Origi menyambar gol penting di tempat lawan ke atas bekas pasukan Klopp, Borussia Dortmund yang menyaksikan mereka terikat 1-1 dalam pertemuan suku akhir pertama Liga Europa di Westfalenstadion.

Penyerang berusia 20 tahun itu disenaraikan di bangku simpanan ketika pertemuan menentang Stoke.

Origi kemudian masuk menggantikan Sheyi Ojo pada babak kedua dan kurang lima minit dia sudah menemui gawang lawan selepas mudah menyempurnakan bola hantaran lintang James Milner.

Dia melengkapkan hari bergaya buat dirinya dengan meledak gol kedua apabila cubaannya melakukan lorongan terus menerjah ke gawang yang dikawal Jakob Haugaard.

Sebelum turun beraksi malam tadi, Origi dianggap kurang menyengat selepas sekadar menjaringkan enam gol dalam 28 perlawanan musim ini, setengah daripadanya hadir menerusi hatrik ketika berdepan Southampton dalam aksi Piala Liga.

Bagaimanapun Klopp percaya bakat Origi akan terus menyerlah dengan berkata, “Dia berada pada landasan betul, ia adalah asas yang baik dan sekarang kami perlu bekerjasama.

“Anda boleh lihat apa yang boleh dilakukannya. Saya fikir Divock berkata kepada dirinya apabila datang ke sini semuanya berbeza untuknya tetapi dia masih muda.

Alberto Moreno meletakkan Liverpool di depan sebelum Bojan Krkic menyamakan kedudukan untuk gol pertama The Potters di Anfield sejak 1983.

Daniel Sturridge menanduk untuk memberikan Liverpool kelebihan sekali lagi sebelum jaringan berganda Origi memastikan kemenangan buat mereka.

ARTIKEL YANG SAMA