Orkid Hibrid abadikan nama Tun Juhar

Orkid Hibrid abadikan nama Tun Juhar

KOTA KINABALU, 30 Sept (Bernama) – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini memperkenal orkid hibrid baharu institut itu yang mengabadikan nama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Dinamakan ‘Perreiraara Tun Dr Juhar’, orkid hibrid yang merupakan inovasi kacukan antara spesies ‘Aerides Lawrenceae’ dan ‘Vandachostylis Five Friendships’ itu dilancarkan oleh Tun Juhar bersempena sambutan hari jadinya yang ke-62.

Hibrid intergenerik baharu itu menghasilkan bunga cantik, menarik dan harum berwarna putih merah jambu, bersaiz lima sentimeter lebar pada tangkai sederhana panjang selain boleh bertahan lama iaitu kira-kira sebulan.

Ia telah didaftarkan dengan Penguat Kuasa Pendaftaran Antarabangsa Hibrid Orkid, United Kingdom pada April lepas.