Otai masih berbisa

Otai masih berbisa

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Pasukan Brumas Warriors mencatatkan sejarahnya tersendiri hari ini bukan sahaja kerana memenangi tiga perlawanan menentang Pasukan Tanjung Nangka B namun juga berjaya menempatkan pasukan itu sebagai juara pertama Kejohanan Badminton Veteran Berpasukan kali pertama Negara Brunei Darussalam.

Hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir antara Brumas Warriors dan Tanjung Nangka B di Pusat Belia, di ibu negara ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Tiga perlawanan berlangsung dalam perlawanan akhir dan kesemuanya berpihak kepada Brumas yang mengalahkan Tanjung Nangka B dengan mata 21-9 dan 22-21 pada perlawanan pertama, 21-9 21-12 pada perlawanan kedua dan 21-7 dan 21-13 pada perlawanan terakhir.

Pada peringkat awal lagi Brumas Warriors menampakkan penyertaan agresif dalam kejohanan yang julung kali diadakan ini apabila meneruskan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan sehingga menjulang piala kejohanan itu, di sini.

Tetamu kehormat menyampaikan piala kejohanan kepada Pasukan Brumas Warriors.
Tetamu kehormat menyampaikan piala kejohanan kepada Pasukan Brumas Warriors.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy bergambar ramai bersama pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan itu.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy bergambar ramai bersama pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan itu.

Pasukan PDB Pengkalan Batu menjadi mangsa pertama Brumas Warriors sebelum mengalahkan Tanjung Nangka B dan Yang Bersara B, kemudian bertemu kembali Pasukan PDB Pengkalan Batu di peringkat separuh akhir dan Tanjung Nangka B di peringkat akhir.

Sebanyak enam pasukan menyertai kejohanan itu iaitu Brumas Warriors, PDB Pengkalan Batu, Yang Bersara A dan B serta Tanjung Nangka A dan B dan pemain terdiri daripada 12 orang pemain kategori Master (55 tahun ke atas) dan Grandmaster (60 tahun ke atas).