OTC Asia 2018...

OTC Asia 2018, platform kongsi pandangan

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Peneraju acara tenaga luar pesisir Asia, Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC Asia), akan bertindak sebagai platform penting bagi mendapat pandangan mengenai sektor tenaga di Asia dan dinamismenya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, yang juga anggota Jawatankuasa Penasihat OTC Asia berkata, persidangan tersebut akan memaparkan Asia sebagai pusat kecemerlangan dalam menawarkan teknologi inovatif dan penyelesaian cekap kos kepada industri berkenaan.

Bertema ‘Kecemerlangan di Asia’, acara itu akan diadakan mulai 20 hingga 23 Mac 2018 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

Dalam satu siaran video semasa pelancaran itu di sini hari ini, Wan Zulkiflee berkata, walaupun industri minyak dan gas kini menghadapi ketidaktentuan harga minyak, persekitaran yang sukar itu menawarkan peluang besar untuk peserta mentakrifkan semula tumpuan mereka.

“Asia memainkan peranan penting dalam menerajui industri global itu untuk menjadi lebih berdaya tahan,” tambahnya.

OTC Asia yang diadakan dua tahun sekali itu akan bertindak sebagai titik pertemuan profesional tenaga untuk bertukar idea dan pandangan bagi meningkatkan pengetahuan saintifik dan teknikal bagi sumber luar pesisir dan hal-hal persekitaran.

Antara lain, program itu akan mengandungi sesi pleno eksekutif peringkat tinggi, taklimat negara, pembentangan kertas teknikal mengenai pelbagai aspek industri sumber tenaga luar pesisir serta pameran canggih.

Selain Petronas, ia turut disertai Baker Hughes,ConocoPhillips, ExxonMobil, GE Oil & Gas, Halliburton, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Mubadala Petroleum, PTTEP, Sapura Energy, Schlumberger, Shell, TechnipFMC dan Weatherford.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan CEO Huluan Petronas, Datuk Anuar Taib berkata, OTC Asia 2018 akan menarik penyertaan 20,000 profesional industri. – Bernama