Ozil: Arsenal sengaja tempuh jalan susah

Ozil: Arsenal sengaja tempuh jalan susah

LONDON, 1 April (AFP) – Mesut Ozil secara peribadi mengakui Arsenal sendiri yang merosakkan cabaran mereka memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Skuad kendalian Arsene Wenger itu yang bakal berkunjung ke Watford, malam esok ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Leicester City yang mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan.

Peluang untuk merapatkan jurang dan memintas penghuni tangga kedua, Tottenham Hotspur sangat tipis dan pemain tengah The Gunners, Ozil mengakui pasukan itu kini menyesal kerana diletakkan sebagai pilihan utama untuk muncul juara liga musim ini.

Ozil percaya, pintu untuk Arsenal bergelar juara masih belum tertutup tetapi menegaskan dia dan rakan sepasukan perlu bangkit sebagai reaksi balas terhadap kritikan penyokong kelab yang mengkritik pengurusan Wenger sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ozil mengakui hanya Arsenal yang merosakkan cabaran gelaran Liga Perdana mereka sendiri. – Reuters
Ozil mengakui hanya Arsenal yang merosakkan cabaran gelaran Liga Perdana mereka sendiri. – Reuters

“Melihat kepada prestasi kami setakat ini, kami perlu jujur dan mengakui yang kami sendiri merosakkannya. Kami tidak bermain pada tahap sebenar terutama apabila bertemu pasukan yang lebih kerdil.

“Kamu akan dihukum disebabkan perkara itu. Namun, kami masih ada peluang untuk muncul juara. Kami perlu mengharapkan Leicester dan Tottenham keciciran mata dan kami pula mengumpul seberapa banyak mata yang boleh,” kata Ozil.

Ozil turut mengakui andai pasukan itu muncul juara, dia mahu mendedikasikannya kepada Wenger.

“Saya akan berasa gembira untuk Wenger jika kami muncul juara. Dia memainkan peranan penting terhadap keputusan saya menyertai Arsenal, dia sangat terdesak untuk menandatangani saya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA