Ozil nafi mahu tinggalkan Arsenal

Ozil nafi mahu tinggalkan Arsenal

LONDON, 23 Mac (Agensi) – Perancang tengah Arsenal, Mesut Ozil menafikan khabar angin mendakwa dia merancang meninggalkan kelab itu pada musim panas ini sekiranya Arsene Wenger kekal sebagai pengurus.

Laporan yang diterbitkan di Sepanyol mendakwa pemain kelahiran Jerman itu sudah mengarahkan ejennya untuk mencari kelab lain jika pengurus kelahiran Perancis itu kekal berkuasa.

Begitupun, Ozil yang sedang mengharungi kempen antarabangsa bersama Jerman dan dijadualkan menentang England, Sabtu ini menafikannya.

“Arsene Wenger adalah alasan utama mengapa saya menyertai Arsenal, ia tidak berubah,” kata Ozil menerusi sumber kepada SportMail.

Sumber itu itu berkata, bekas pemain Real Madrid itu enggan melayan spekulasi yang mengatakan dia ingin berpindah ketika dia masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun di Emirates.

Ozil menafikan khabar angin yang mendakwa beliau mahu meninggalkan Arsenal pada musim panas ini. – Reuters
Ozil menafikan khabar angin yang mendakwa beliau mahu meninggalkan Arsenal pada musim panas ini. – Reuters

Wenger baru-baru ini berkata Arsenal tidak mengeluarkan perjanjian baharu dengan mana-mana pemain.

Begitupun bersandarkan tempoh baki kontrak Ozil bersama kelab itu, difahamkan kedua-dua pihak tidak tergesa-gesa untuk membincangkan kontrak baharu atau penambahbaikkan bagi terma ketika ini.

Real dikatakan mempunyai pilihan untuk mendapatkan semula Ozil manakala Barcelona turut dikaitkan dengan pemain berbakat itu.

Ozil berjaya dipikat Arsenal dari Real dengan bayaran 42.5 juta pound pada 2013 dengan gaji 150,000 pound seminggu. Bulan lalu, Ozil dengan jelas berkata dia gembira bersama Arsenal.

“Saya gembira untuk bermain dengan kelab yang besar seperti ini dan gembira untuk menetap di London. Saya gemarkan London. Saya pergi ke muzium, taman dan restoran, semua perkara yang normal,” katanya.