PA diarah sediakan bon AS$10 juta

PA diarah sediakan bon AS$10 juta

BAITULMAQDIS/NEW YORK, 25 Ogos (AFP) – Seorang Hakim Amerika Syarikat semalam mengarahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) supaya menyediakan wang tunai atau bon bernilai AS$10 juta sementara mereka mengemukakan rayuan ke atas keputusan supaya membayar beratus-ratus juta dolar kepada mangsa warga Amerika Syarikat yang menjadi mangsa serangan.

Hakim George Daniels berkata PA dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) juga perlu mendepositkan AS$1 juta setiap 30 hari, sementara menunggu keputusan rayuan ke atas keputusan yang dibuat pada Februari lepas.

Juri dari New York mendapati PA dan PLO bertanggungjawab ke atas enam serangan di Baitulmaqdis di antara 2002-2004, dengan menganugerahkan pampasan kepada mangsa warga Amerika dan keluarga mereka berjumlah sehingga AS$655.5 juta.

Daniels berkata penghakiman yang memihak kepada plaintif diputuskan dalam tempoh 60 hari akan datang, tetapi terpaksa menunggu keputusan rayuan selagi deposit dibuat kepada kerani mahkamah.

Dua minggu lepas, pentadbiran Obama menggesa Daniels supaya “menimbang dengan berhati-hati” dengan turut mengambil kira kewangan PA ketika membuat keputusan sama ada mengenakan bayaran tunai atau bon.

Timbalan Setiausaha Negara Antony Blinken menyuarakan “keprihatinan yang signifikan” mengenai apa yang akan berlaku jika bon “akan dengan teruk menjejaskan keupayaan Pihak Berkuasa Palestin untuk beroperasi sebagai pihak berkuasa kerajaan.”

Enam pengeboman dan penembakan mengorbankan 33 orang dan mencederakan lebih 390 yang lain di antara Januari 2002 dan Januari 2004.

Ia dilakukan oleh Hamas dan Briged Al-Aqsa – yang disenaraihitamkan sebagai pertubuhan pengganas di Amerika Syarikat – ketika kebangkitan kedua Palestin ke atas Israel.