Pacquiao bakal jalani pembedahan

Pacquiao bakal jalani pembedahan

LOS ANGELES, 5 Mei (AFP) – Kem Manny Pacquiao pada Isnin menuduh Suruhanjaya Olahraga Nevada menghalang mereka daripada merawat kecederaan bahu kanan petinju itu yang kini memerlukan pembedahan untuk membaikinya.

Pacquiao, yang tewas melalui keputusan sebulat suara kepada Floyd Mayweather dalam pertarungan penyatuan gelaran welterweight pada Sabtu, dijangka menjalani pembedahan minggu ini, ESPN melaporkan pada Isnin.

Dr Neal ElAttrache menjelaskan kecederaan itu bakal merehatkan Pacquiao di antara sembilan hingga 12 bulan. “Kami sudah membuat imbasan MRI yang mengesahkan kecederaannya agak serius itu,” ElAttrache dari Klinik Ortopedik Kerlan Jobe memberitahu ESPN.

ElAttrache merupakan salah seorang daripada pakar yang paling dihormati di Amerika Utara setelah membedah quarterback New England Patriots Tom Brady, pemain Los Angeles Dodgers, Zack Greinke dan bintang Los Angeles Lakers, Kobe Bryant. Tiada tarikh khusus ditetapkan untuk pembedahan Pacquiao.

Pacquiao dan Mayweather bertarung di Grand MGM, Las Vegas dalam salah satu pertemuan yang dinanti-nantikan dalam sejarah tinju sebagai pertarungan paling lumayan dengan pulangan kira-kira AS$400 juta.

Manny Pacquiao meraba bahunya yang cedera semasa mengadakan satu sidang akhbar di MGM Grand Garden Arena di Las Vegas selepas tewas kepada Floyd Mayweather kelmarin. – AFP
Manny Pacquiao meraba bahunya yang cedera semasa mengadakan satu sidang akhbar di MGM Grand Garden Arena di Las Vegas selepas tewas kepada Floyd Mayweather kelmarin. – AFP

Pertarungan super itu juga mengesahkan Mayweather sebagai petinju era moden tetapi sebelum kecederaan teruk Pacquiao didedahkan.

Pacquiao yang jelas mempunyai kesukaran menggunakan tangan kanannya dalam pertarungan 12 pusingan hanya berjaya melepaskan 18 tumbukan berbanding 67 untuk Mayweather.

Kecederaan ini juga mengehadkan kuasa tumbukan Pacquiao dan hanya mampu menguasai 27 peratus pertarungan berbanding 48 peratus bagi Mayweather yang bertahan dengan baik.

Kem Pacquiao berkata Suruhanjaya tidak membenarkan mereka merawat petinju itu menjelang pertarungan walaupun dibenarkan mengambil suntikan anti-radang oleh Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA), yang dijalankan ujian dadah secara rambang ke atas peninju.