Pacquiao, Bradley episod 3

Pacquiao, Bradley episod 3

LOS ANGELES, 31 Dis (AFP) – Ikon tinju Filipina, Manny Pacquiao akan kembali ke gelanggang pada 9 April depan di Las Vegas untuk bertarung dengan Timothy Bradley buat kali ketiga, kata pegawai promosi, Bob Arum.

Ketua pegawai promosi utama, Arum mengesahkan kepada AFP bahawa pertarungan itu dijadualkan di MGM Grand dengan pertarungan kedua-dua peninju itu sebelum ini terikat seri 1-1.

Pertembungan pertama antara kedua-dua peninju itu pada Jun 2012 dimenangi Bradley dengan keputusan kontroversi sebelum Pacquiao membalas dendam apabila memenangi pertembungan kedua pada April 2014.

Walaupun Pacquiao sudah meluahkan hasratnya untuk bersara selepas pertarungan pada April itu untuk meneruskan kerjaya politiknya, Arum berkata beliau tidak akan mempromosikan pertarungan berkenaan seperti yang terakhir buat Pacquiao.

“Saya tidak pasti sama ada ia adalah pertarungan terakhir,” kata Arum. “Ia mungkin pertarungan terakhir dan ia juga mungkin bukan pertarungan terakhir.”

Manny Pacquiao (kanan) dan Timothy Bradley ketika pertembungan kedua mereka. – Reuters
Manny Pacquiao (kanan) dan Timothy Bradley ketika pertembungan kedua mereka. – Reuters

Pacquiao yang juga ahli kongres sejak 2010, mengumumkan pada Oktober betapa dia akan mendapatkan kerusi di Senat Filipina pada 2016.

Peninju berusia 37 tahun yang memiliki rekod 57-6-2 dengan 38 KO, tidak bertarung sejak 2 Mei selepas tewas dengan keputusan sebulat suara kepada Floyd Mayweather dalam pertarungan yang lama ditunggu mereka.

Malah, pertarungan itu turut memecahkan rekod pendapatan bagi sukan itu apabila meraih AS$600 juta dalam pendapatan kasar.

Pacquiao mengalami kecederaan bahu pada pertarungan dengan Mayweather dan menjalani pembedahan lima hari kemudian.

Minggu ini dalam soal jawab bersama peminat di laman Facebook, Pacquiao berkata bahunya sudah ‘100 peratus’ pulih.

Arum, juga berkata perkara sama yang mengakui bahunya kelihatan seperti sudah pulih 100 peratus.

“Dia bermain bola keranjang, selain melakukan aktiviti menyelam,” kata Arum.

Walaupun tidak semua kertas kerja sudah dimuktamadkan, Arum berkata tiada halangan untuk menjayakan pertarungan itu dengan syarat utama seperti wang dijamin dan perpecahan hadiah sudah diputuskan.

ARTIKEL YANG SAMA