Pacquiao disaman

Pacquiao disaman

NEVADA, 6 Mei (Reuters) – Dua penonton di Nevada memfailkan tindakan mahkamah ke atas Manny Pacquiao, mendakwa peninju itu menipu pembeli tiket, penonton televisyen dan penjudi kerana gagal mendedahkan kecederaan bahunya sebelum menentang Floyd Mayweather Jr. Saman itu difailkan oleh Stephane

Vanel dan Kami Rahbaran di Mahkamah Daerah Nevada dengan menuntut tindakan berpatutan melindungi pengguna bagi pihak pembeli tiket, penonton yang mengikuti siaran tv berbayar dan mereka yang berjudi.

Syarikat promosi yang mewakili Pacquiao, Top Rank Inc juga dinamakan sebagai defendan dalam saman itu namun syarikat terbabit gagal memberi maklum balas segera apabila diminta komen mengenai saman berkenaan. Peguam yang mewakili Top Rank dan Pacquiao juga gagal dihubungi.

Pacquiao, peninju yang berasal dari Filipina tewas dalam keputusan sebulat suara juri pertandingan kepada Mayweather, peninju dari Amerika Syarikat (AS) dalam pertandingan kelas welterweight dunia di Las Vegas, Sabtu lalu.

Pertandingan yang dianggap pertembungan satu abad itu dikatakan menawarkan hadiah paling tertinggi dalam mana pertandingan tinju sebelum ini.

Floyd Mayweather memeluk Manny Pacquiao semasa sidang media selepas pertarungan di Las Vegas pada 2 Mei lalu. – AFP
Floyd Mayweather memeluk Manny Pacquiao semasa sidang media selepas pertarungan di Las Vegas pada 2 Mei lalu. – AFP

Selepas sejam pertandingan tamat, promoter Pacquiao, Bob Arum, berkata peninju berusia 36 tahun itu berdepan dengan ‘kecederaan lama’ di bahu kanannya.

Pacquiao atau pasukannya tidak tampil memberitahu Suruhanjaya Atlet Nevada mengenai isu kecederaan bahu itu sehinggalah beberapa jam sebelum pertembungan bermula apabila Pacquiao meminta suntikan penahan kesakitan.

Ketika pasukan Pacquiao mengisi soalan mengenai perubatan sebelum perlawanan pada Jumaat, soalan mengenai sebarang kecederaan pada bahu, ia ditandakan sebagai ‘Tidak’ sebelum borang berkenaan ditandatangani oleh Pacquiao dan penasihatnya.