Pacquiao menang bergaya

Pacquiao menang bergaya

LAS VEGAS, 10 April (AFP) – Manny Pacquiao melengkapkan karier selama 21 tahun sebelum bersara sepenuhnya dengan bergaya apabila menewaskan petinju Amerika Syarikat Tim Bradley, pagi tadi.

Pacquiao, yang bertarung pertama kali sejak tewas kepada Floyd Mayweather Mei lalu dalam ‘pertarungan terhebat abad ini’, menumbangkan Bradley sebanyak dua kali untuk mencatat kemenangan itu.

Kad markah ketiga-tiga juri di Arena Grand Garden MGM membuktikan penguasaan Pacquiao dalam pertarungan kategori welterweight yang tidak menawarkan gelaran itu, dengan peninju berusia 37 tahun dari Filipina itu memenangi pertemuan terbabit dengan 116-110.

Minggu lalu, Pacquiao menegaskan pertarungan ke-66 sepanjang kariernya itu akan menjadi yang terakhir sebelum dia memberi tumpuan kepada karier politiknya di Filipina apabila menawarkan diri bertanding menganggotai badan senat negara itu bulan depan.

Aksi Pacquiao kepada penyokongnya selepas menang penuh bergaya menewaskan petinju Amerika Syarikat, Tim Bradley. – AFP
Aksi Pacquiao kepada penyokongnya selepas menang penuh bergaya menewaskan petinju Amerika Syarikat, Tim Bradley. – AFP

Ditanya selepas itu jika dia merancang untuk bersara, Pacquiao membalas, “Saya fikir begitu. Saya sudah berjanji kepada keluarga untuk bersara selepas ini.

“Mungkin saya akan lebih menikmati kehidupan dengan bersara, berkhidmat kepada orang ramai dan membantu orang ramai,” tambahnya sebelum memberi ucapan perpisahan kepada peminatnya.

“Terima kasih kepada semua penyokong saya, terutama rakyat Filipina. Saya sangat menghargai segala bantuan dan sokongan anda.”

Pacquiao, satu-satunya lelaki yang berjaya meraih gelaran dunia dalam lapan bahagian yang berbeza.

Prestasi tersebut membuatkan penyokongnya percaya supaya dapat memujuk beliau untuk memanjangkan kerjayanya yang telah memperoleh lebih daripada $500 juta dalam tempoh 21 tahun.