Pacquiao pertimbang aksi ke Olimpik Rio

Pacquiao pertimbang aksi ke Olimpik Rio

LOS ANGELES, 31 Mac (AFP) – Jurulatih tinju veteran Amerika Syarikat, Freddie Roach menyokong keputusan Manny Pacquiao bertanding di Sukan Olimpik jika peraturan membenarkan peninju profesional layak mengambil bahagian dalam temasya Ogos depan.

Pacquiao dalam satu majlis semalam mengakui masih mempertimbangkan hasratnya sama ada melobi satu tempat dalam pasukan kebangsaan ke Olimpik Rio atau sebaliknya.

“Saya tidak mengatakan ya atau tidak, saya belum buat keputusan mengenainya, saya perlu memikirkan terlebih dahulu, bagi saya, amat bagus peninju pro dibenarkan bertanding di Sukan Olimpik,’’ katanya.

Sebelum ini, juara dunia lapan kali itu mengakui ada menerima jemputan secara peribadi ke Rio daripada Presiden Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA), Wu Ching-Kuo.

AIBA sebelum ini mencadangkan supaya peninju profesional dibenarkan bertanding di Olimpik dan status berkenaan akan ditentukan menerusi satu undian kalangan anggota gabungan AIBA pada akhir Mei ini.

Pacquiao ketika ditemui Media sebelum menjalani latihan di Wild Card Boxing Club, California. Pacquiao masih belum mengambil keputusan bagi mempertimbangkan hasratnya untuk beraksi di Rio. – AFP
Pacquiao ketika ditemui Media sebelum menjalani latihan di Wild Card Boxing Club, California. Pacquiao masih belum mengambil keputusan bagi mempertimbangkan hasratnya untuk beraksi di Rio. – AFP

Pacquiao, kini sibuk mempersiapkan diri untuk berdepan dengan Timothy Bradley dalam aksi terakhirnya di Las Vegas pada 9 April ini sebelum memasuki kancah politik di tanah airnya.

Jika cadangan AIBA itu diterima, prospek Pacquiao, 37, untuk menang pingat emas pertama untuk Filipina agak cerah sekali gus meningkatkan peluangnya menang dalam pilihan raya kebangsaan negaranya.

Setakat ini, skuad kebangsaan Filipina memenangi sembilan pingat gangsa dan perak dalam temasya Olimpik sejak 1928 dengan lima daripadanya disumbangkan menerusi acara tinju.

Roach ketika ditemui mengesahkan dirinya sanggup melatih Pacquiao secara percuma andainya cadangan AIBA diterima oleh penganjur Olimpik Rio.

ARTIKEL YANG SAMA