Pacquiao sembuh, bertarung Amir Khan?

Pacquiao sembuh, bertarung Amir Khan?

NEW YORK, 13 Okt – Manny Pacquiao semalam berkata bahawa pembedahannya bagi memulihkan bahunya sembuh 80-90 peratus dan dia menjangka kembali berlatih pada November atau Disember, dengan aksi kembali ke gelanggang pada bulan Mac.

Pacquiao mengakui bahawa Amir Khan adalah kemungkinan pesaing, tetapi menambah masih belum ada penetapan dibuat. Pacquiao menjalani pembedahan di bahu kanan empat hari selepas dia tewas dengan keputusan sebulat suara kepada Floyd Mayweather Jr dalam pertarungan tinju terkaya pada Mei lalu. Mayweather berkata dia telah bersara, walaupun Pacquaio mengetahui bahawa dalam tinju, kenyataan itu tidak selalunya bertahan.

“Jika anda bertanya saya, sudah tentu saya mahukan pertarungan semula. Saya dengar dia sudah bersara. Jika dia bersara, jadi tiada pertarungan semula. Tetapi jika tidak…,” kata Pacquiao.

Manny Pacquiao tatkala bercakap pada sidang media selepas menerima Anugerah Tahunan Asia Society’s Asia Game Change di New York pada 12 Oktober 2015. – AFP
Manny Pacquiao tatkala bercakap pada sidang media selepas menerima Anugerah Tahunan Asia Society’s Asia Game Change di New York pada 12 Oktober 2015. – AFP

Pacquiao mengalami kecederaan bahu tiga minggu sebelum pertarungan. Dia kemudian berkata keadaan semakin teruk pada pusingan keempat, apabila dia melancarkan beberapa tumbukan terbaiknya pada malam ketika menentang Mayweather.

“Dia terus bergerak dan tidak mahu bertarung bersemuka dengan saya, berbalas-balas tumbukan,” kata Pacquiao semalam.

Ditanya jika dia akan boleh menukarnya dalam pertarungan semula, Pacquaio berkata, “Saya rasa, terutamanya (selepas) saya memulihkan bahu saya.”

Pacquiao, anggota kongres di Filipina, berada di Manhattan untuk menerima Anugerah Tahunan bagi Asia Society’s Asia Game Change. – Agensi