Pacquiao tekad undur penuh gaya

Pacquiao tekad undur penuh gaya

LAS VEGAS, 7 April (AFP) – Manny Pacquiao percaya kehilangannya selama 11 bulan daripada dunia tinju susulan kekalahannya kepada Floyd Mayweather menyebabkan dia makin laparkan kejayaan berbanding sebelum ini apabila dia bersedia untuk pertarungan selamat tinggal menentang Tim Bradley, Sabtu ini.

Petinju dari Filipina berusia 37 tahun itu menegaskan betapa dia akan bersara daripada tinju selepas pertarungan dengan Bradley, sambil berikrar untuk memberi fokus dalam karier politik di negara kelahirannya dan bakal bertanding dalam pemilihan Senat.

Sementara Pacquiao masih membuka sebelah pintu dalam meneruskan kariernya, dia memberitahu wartawan di MGM Grand di Las Vegas yang dia berhasrat untuk menamatkan karier dengan penuh bergaya dalam pertarungan Sabtu ini.

“Ia adalah sangat penting bagi saya memenangi pertarungan ini, untuk menang dengan penuh keyakinan,” kata Pacquiao. “Ia adalah sebahagian daripada legasi saya.”

Pacquiao (kiri) dan Bradley Jr. memberikan pose untuk jurugambar selepas sidang media di MGM Grand Hotel & Casino Wednesday, Las Vegas, Nevada kelmarin. – AFP
Pacquiao (kiri) dan Bradley Jr. memberikan pose untuk jurugambar selepas sidang media di MGM Grand Hotel & Casino Wednesday, Las Vegas, Nevada kelmarin. – AFP

Ditanya jika dia masih mempunyai naluri pembunuh yang banyak membantunya memperoleh kemenangan sehingga lapan gelaran dunia dalam lapan kategori berat yang berbeza, Pacquiao berkata kehilangannya dalam tempoh yang panjang menambah lagi semangatnya di gelanggang.

“Saya masih mempunyainya (naluri pembunuh),” kata Pacquiao. “Saya berehat hampir setahun dan apabila saya mula berlatih untuk pertarungan ini saya rasa segar dan laparkan kemenangan semula

“Sama seperti saya memulakan tinju. Ia bagus untuk saya. Saya masih ada kemahuan itu. Saya sayangkan tinju. Tinju adalah jiwa saya. Saya membesar dengan tinju. Saya bermula apabila berumur 12 tahun , tidak berhenti sehinggalah sekarang.”