Pacu peralihan paradigma

Pacu peralihan paradigma

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Dengan mengambil kira akan peri pentingnya peranan kaedah Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) dalam mencapai agenda transformasi perkhidmatan awam, sudah tiba masa bagi konvensyen ini diberi nafas baru dengan dinaikkan taraf menjadi Anugerah Inovasi.

“Ini adalah dengan mengambil kira akan sumbangan kapasiti dan tahap intelek cambahan minda, nilai kreativiti semangat setia kawan serta inovasi yang tinggi setentunya wajar diberikan pengiktirafan yang selayaknya.”

Perkara ini ditekankan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud semasa berucap pada Majlis Penutup Konvensyen KKC Peringkat Kebangsaan ke-19 yang berlangsung di Dewan Teater, Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, di sini, petang ini.

Dalam ucapannya itu, beliau juga menyatakan rasa optimis bahawa dengan menaiktarafkannya, ia bukan sahaja akan dapat mencetuskan projek-projek inovatif, malahan akan dapat memacu peralihan paradigma kepada yang lebih positif.

Menurutnya, dalam era yang berlandaskan prestasi dan berorientasikan ‘outcome’, kaedah KKC merupakan instrumen penting yang dapat menyumbang kepada pencapaian prestasi dan produktiviti organisasi.

Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika menyampaikan ucapan.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika menyampaikan ucapan.

“Penghasilan kerja kita perlu berteraskan kreativiti dan inovasi yang dapat membuahkan kesan yang signifikan, nilai tambah serta peningkatan secara berganda,” tambahnya.

Beliau juga menyeru agar tekad untuk membudayakan penggunaan kaedah KKC warga kerja perlu menyematkan minda positif dan kreatif untuk memperbaik proses kerja, membantu meningkatkan tahap pemberian perkhidmatan pelanggan, menjimatkan kos dan masa serta banyak lagi yang secara tidak langsung bagi meningkatkan tahap produktiviti dan kualiti perkhidmatan awam secara keseluruhan dan menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi dan pembangunan negara.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau juga telah menekankan bahawa penggunaan kaedah KKC tidak seharusnya diletakkan di atas bahu pegawai dan kakitangan bawahan untuk menjayakannya.

Apa yang lebih signifikan adalah, penglibatan daripada semua peringkat terutama sekali dalam kalangan pegawai-pegawai Divisyen II kerana, menurut beliau, penglibatan secara ‘total participation’ ini merupakan salah satu daripada ramuan utama untuk memastikan proses penyelesaian satu-satu masalah dan penjanaan inisiatif perubahan akan dapat diadun dengan lebih serasi dan terarah.

“Begitu juga sokongan padu serta bimbingan daripada pihak pengurusan atasan ke arah memastikan projek KKC dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.”

Katanya lagi, komitmen seperti itu perlu diberi penghargaan atau insentif yang sewajarnya bukanlah semestinya dalam bentuk ganjaran kewangan malah boleh diberikan ganjaran bukan dalam bentuk kewangan untuk memberi galakan dan penghargaan atas usaha-usaha yang telah dilakukan.

“Janganlah juga kita melihat Konvensyen KKC sebagai satu pertandingan untuk mendapatkan pengiktirafan dan anugerah semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikannya sebagai platform yang ulung bagi mewujudkan persaingan sihat dan bagi memartabatkan hasil cetusan idea-idea yang berinovasi lagi kreatif secara berterusan.

“Kalah atau menang kita ketepikan sementara, yang penting masalah kerja dapat dikurangkan atau diatasi,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menyentuh mengenai inisiatif yang diambil oleh Institut Perkhidmatan Awam pada tahun 2014 untuk memperkenalkan KKC Hibrid iaitu gabungan kumpulan antara pelbagai agensi sama ada dalam satu kementerian atau bersama agensi di luar kementerian.

Namun, tekan beliau, sehingga ke hari ini penyertaan hibrid di peringkat Konvensyen KKC Kebangsaan masih belum terlihat hasilnya.

Oleh itu, beliau menyeru fasilitator-fasilitator KKC untuk menyahut cabaran ini dan merungkai dimensi baru kepada inovasi yang mencakupi usaha sepadu kepada penyelesaian masalah yang menjurus kepada penambahbaikan proses dan prosedur serta perkhidmatan yang mempunyai aliran kerja yang saling berkait rapat.

Menurutnya, budaya kerja merentas agensi seumpama inilah yang seharusnya dilaksanakan secara meluas kerana ia mempunyai impak tinggi di samping memberikan jalan keluar daripada pemikiran silo.

Beliau juga meluahkan keyakinan dan percaya bahawa penggunaan KKC merupakan salah satu kaedah pengurusan yang giat diguna pakai secara global untuk menjana pemikiran-pemikiran yang memandang ke hadapan serta di luar kotak kebiasaan.

“Justeru, kekuatan kaedah ini wajar kita manfaatkan untuk merealisasikan perancangan strategi kementerian mahupun jabatan dan seterusnya mencapai misi dan visi khususnya melalui penjelmaan cadangan transformasi yang kekal lestari,” jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA