Pad Motors edar kereta terbaru Proton

Pad Motors edar kereta terbaru Proton

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Kereta jenama Proton kini kembali di pasaran Brunei dengan menampilkan kereta yang lebih kuat, berkualiti, lebih baik dan juga laju menerusi Pad Motors yang telah dilantik untuk menjadi pengedar kenderaan jenama Malaysia berkenaan di negara ini.

Pengarah Pad Motors, Awang Hambali bin Pehin Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh semasa ditemui pihak media di Bilik Pameran Proton, Beribi, hari ini menyatakan bahawa Proton baru sahaja membuat pelaburan sebanyak RM600 juta untuk penyelidikan dan pembangunan jenama Proton.

Ini, jelasnya lagi, membuktikan bahawa Proton sememangnya amat serius untuk bersaing dalam pasaran global.

Awang Hambali menjelaskan lagi bahawa keyakinan merupakan kunci penting untuk mendapatkan kejayaan bagi para pengedar global dan juga para pengguna.

Sehubungan dengan itu, para pelanggan yang ingin membeli kereta jenama Proton di negara ini, akan diberikan lima tahun jaminan bagi pembelian Proton Iriz dan tiga tahun jaminan bagi Proton Saga Plus, malah pelanggan juga tidak perlu membayar ansuran selama enam bulan.

Kakitangan Pad Motors selaku pengedar jenama Proton di negara ini bergambar ramai bersama Pengarah Pad Motors, Awang Hambali.
Kakitangan Pad Motors selaku pengedar jenama Proton di negara ini bergambar ramai bersama Pengarah Pad Motors, Awang Hambali.

“Ini adalah salah satu petunjuk yang dapat memberikan kepercayaan bagi para pelanggan bahawa jenama Proton sangat yakin dengan produknya.”

Beliau menyatakan lagi bahawa tiga daripada model kereta Proton telah mendapat kedudukan kereta tertinggi dalam kategori harga yang berpatutan melalui Mata Penilaian ‘New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP)’.

Dengan adanya jenama Proton di Brunei, para pelanggan tidak perlu risau untuk mendapatkan alat-alat ganti yang diperlukan kerana ia boleh didapati dalam jangka masa dua hari sahaja di negara jiran iaitu Malaysia.

Proton Iriz yang boleh didapati di pasaran
Proton Iriz yang boleh didapati di pasaran

Beliau menjelaskan lagi bahawa buat masa ini, terdapat dua bengkel kereta yang telah disediakan bagi pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan iaitu di United Motors dan Pad Motors.

“Buat masa ini, terdapat 15 buah kereta Proton telah dibawakan ke Brunei dan lapan daripada jumlah tersebut telah pun berjaya dijual kepada pelanggan di sini. Ini adalah petunjuk yang baik di mana orang ramai kini sudah mengenal pasti dan sedar tentang jenama Proton.”

Menurutnya lagi, dengan kesedaran yang semakin meningkat ini, orang ramai dapat tahu bahawa produk Proton kini semakin berkembang maju daripada segi prestasi, ketahanan, keselesaan dan gaya. Awang Hambali menjelaskan lagi bahawa pada masa akan datang, Pad Motors akan menampilkan pelbagai lagi model Proton terbaru dan menarik di pasaran Brunei dan akan dijangka tiba pada Januari tahun depan.

Bagi orang ramai yang berminat bolehlah berkunjung ke Bilik Pameran Proton, Beribi untuk menguji pandu Proton Iriz dan Proton Saga Plus semasa waktu beroperasi.