Padah akibat mencuri

Padah akibat mencuri

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Dua lelaki tempatan yang berdepan pertuduhan curi dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhi 10 bulan penjara ke atas Haji Awang Sharol bin Ali berusia 39 tahun, serta dua tahun dan dua bulan penjara terhadap Inayatullah bin Matasin, 20.

Haji Awang Sharol mengaku bersalah mencuri satu silinder gas dari sebuah rumah di Kampung Tanjong Bunut pada 12 Mac 2016, dan juga mencuri satu unit alat penghawa dingin; katil anak damit; meja kecil dan kerusi pejabat di sebuah rumah di Jalan Beribi sekitar Mac 2016 bersama rakan sejenayahnya, Inayatullah.

Inayatullah turut berdepan dakwaan mencuri sebuah kereta Toyota Kijang di kawasan letak kereta di Kampung Kiulap pada 2 Mac 2016, dan juga menghadapi pertuduhan mencuri pemain pita radio Xplod daripada kereta Honda Stream di Flat Lapangan Terbang antara 10 dan 14 Mac 2016.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.

ARTIKEL YANG SAMA