Padah ambil dadah

Padah ambil dadah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Mahkamah Majistret, semalam, telah menjatuhkan hukuman denda $2,300 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah bagi dua pertuduhan mengambil dan memiliki peralatan mengambil dadah pada 2009.

Lim Chze Hau, 35, untuk pertuduhan pertama didakwa mengambil dadah terkawal kelas A, Methylamphetamine pada 19 November 2009 dan juga berdepan pertuduhan memiliki peralatan mengambil dadah pada hari yang sama kira-kira 12:04 tengah malam di Flat JKR Sinarubai.

Tertuduh memberitahu mahkamah, dia hanya dapat membayar $200 setiap bulan atas sebab dia tidak bekerja namun Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin hanya dapat memberi tempoh enam bulan kepada tertuduh dengan memerintahkannya untuk membayar $383 setiap bulan selama lima bulan dan $385 untuk bulan
terakhir.

Menurut fakta kes, tertuduh sempat membuang beberapa ‘barang’ sebelum ditangkap oleh pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam serbuan di Flat JKR Sinarubai namun ia dapat ditemui semula di kawasan letak kereta flat berkenaan.

Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku telah membuang barang itu kerana takut apabila menyedari kemunculan pegawai BKN.

Tertuduh kemudian dibawa ke pejabat BKN untuk siasatan lanjut di mana sampel air kencing tertuduh turut diambil bagi analisa.

Hasil analisa yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik menunjukkan ujian air kencing tertuduh mengandungi dadah terkawal kelas A, Methylamphetamine dan barang peralatan yang digunakan tertuduh juga mempunyai kesan Methylamphetamine.

Kes dikendalikan oleh Pendakwa Raya BKN, Norizanullah binti Haji Awang Jaya.

Di mahkamah yang sama, seorang lelaki tempatan turut diarahkan untuk membayar denda $1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda atas kesalahan mengambil dadah terkawal jenis A, Methylamphetamine.

Mohammad Arif Qamaruddin bin Awang Ramli, 25, bagaimanapun memberitahu mahkamah dia tidak dapat membayar denda yang dikenakan itu, dan meminta tempoh daripada Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin.

Tertuduh memberitahu bahawa dia hanya dapat membayar $200 setiap bulan memandangkan dia tidak bekerja dan perlu menyara isteri dan anaknya.

Namun Majistret memerintahkannya untuk membayar $250 dalam tempoh enam bulan setelah mendengar Pendakwa Raya BKN, Norizanullah binti Haji Awang Jaya yang memberitahu mahkamah bahawa pembayaran denda perlu dijelaskan sebelum tarikh sebutan bagi ujian air kencing tertuduh pada Disember ini.

Majistret, semalam, turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani ujian air kencing.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sekitar jam 1:50 pagi pada 27 Mac 2011 dalam operasi bersepadu Biro Kawalan Narkotik bersama agensi penguatkuasaan yang lain.

Meskipun pemeriksaan yang dijalankan ke atas tertuduh tidak menemui sebarang peralatan berkaitan dadah tetapi tertuduh mengaku telah mengambil ganja.

Ujian air kencing yang diambil daripada tertuduh pada 27 Mac 2011 telah disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik mengandungi Methylamphetamine yang mana tertuduh mengaku telah mengambil ganja seminggu sebelum dia ditangkap.

ARTIKEL YANG SAMA