Padah atur perlawanan

Padah atur perlawanan

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Tiga bekas pemain pasukan T-Team hari ini dipenjara masing-masing sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah memberi keterangan bercanggah berhubung kes mengatur perlawanan bola sepak.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Mohd Nadzmeer Hisham Mohammad, Mohd Hafiz Mohd Noor dan Mohd Hanifzam Muda dihukum penjara setahun sekiranya gagal membayar denda itu.

Mohd Nadzmeer, 25, bekerja sebagai penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mohd Hafiz, 26, kini merupakan anggota polis, (ketika kejadian dia belum menyertai pasukan polis) manakala Mohd Hanifzam, 26, bekerja sebagai buruh.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memberi keterangan tidak selaras iaitu pada 4 Jun 2011 kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dan semasa perbicaraan kes bekas jurulatih pasukan itu, Sufian Ngah dan K. Rajendran yang didakwa mengatur perlawanan bola sepak membabitkan pasukan itu dengan Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Mereka yang merupakan saksi dalam kes jurulatih itu didakwa melakukan kesalahan antara 6 dan 7 Mei 2014, pukul 9 pagi hingga 3 petang di Mahkamah Sesyen 3 di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, kesemua tertuduh yang diwakili peguam Othman Bakar memohon agar mahkamah menimbangkan hukuman ringan memandangkan ia adalah kesalahan pertama dan tertuduh perlu menanggung keluarga masing-masing. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA