Padah berselfie di tempat mandi wanita

Padah berselfie di tempat mandi wanita

TOKYO, 9 Nov (AFP) – Seorang pelancong lelaki China berpakaian wanita telah ditangkap selepas dia memasuki tempat mandi tepi laut bahagian wanita untuk berselfie, menurut polis tempatan hari ini.

Xia Liang, 36 tahun, diberkas pagi semalam di spa lama Sakinoyu, tempat mandi terbuka tepi laut yang terkenal dengan pemandangan indah di wilayah Wakayama di barat Jepun.

“Dia datang ke sana memakai kimono merah atau merah jambu dan mengenakan rambut palsu panjang berwarna coklat yang mencecah dadahnya,” kata seorang pegawai di kawasan polis di bandar Shirahama.

“Dia mengenakan gincu dan merias tangannya,” kata pegawai itu lagi, dengan menambah kata selepas menanggalkan pakaiannya “dia menutup perutnya dengan tuala.”

Dua orang tetamu wanita yang berada di kawasan mata air panas itu menyedari pengunjung luar biasa yang memasuki kawasan bilik bersiap wanita di situ dan menghubungi kakitangan apabila lelaki itu membawa kayu selfie untuk mengambil gambar, menurut pegawai polis itu lagi.

Xia diberkas atas dakwaan menceroboh, sementara telefon pintarnya tidak mengandungi gambar mana-mana wanita di tempat mandi itu, tambahnya.

“Lelaki itu berkata, dia diberitahu bahawa pemandangan dari tempat mandi wanita mempesona, meskipun dia tahu dia tidak sepatutnya memasuki kawasan wanita itu,” menurut pegawai polis itu.

“Lazimnya apabila perkara ini berlaku, ia mempunyai elemen lucah. Tetapi ini mungkin sedikit berbeza.”

Lelaki itu yang datang ke Jepun pada Jumaat lalu bagi lawatan enam hari bersama seorang wanita, sedang ditahan, tambah pegawai itu lagi.

Kawasan mata air panas itu terletak begitu dekat dengan laut yang mana air yang dihempas ombak boleh memercik-mercik ke atas tab berbatunya dan orang yang berhibur di dalamnya.

ARTIKEL YANG SAMA