Padah curi telefon pintar

Padah curi telefon pintar

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160519_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Seorang lelaki warga tempatan telah dijatuhi hukuman 14 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan mencuri satu unit telefon pintar HTC.

Awangku Muhammad Nazri bin Pengiran Mohd Jasni, 26, mengaku bersalah mencuri satu HTC di CityMobile di Kompleks Delima Jaya pada 8 Mei 2016 kira-kira jam 7:45 malam.

Fakta kes daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi menyebut, tertuduh yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Daerah Belait itu telah pergi ke kedai telefon tersebut dan meminta jurujual untuk mengeluarkan telefon pintar HTC yang dipamerkan.

Tertuduh terus melarikan diri sebaik telefon diberikan kepadanya.

Tertuduh kemudian mengiklankan telefon pintar itu di laman sosial Facebook pada harga $250 di mana dia berjumpa dengan pembelinya di kawasan Rimba.

Tertuduh diberkas pada 16 Mei, dan polis telah menemui semula telefon pintar yang dianggarkan bernilai $695 itu.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA