Padah curi wang majikan

Padah curi wang majikan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160825_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Gara-gara mencuri wang majikan untuk pulang ke Bandung, seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman dijatuhkan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman terhadap Aning Karwati, 39, yang mengaku bersalah mencuri wang berjumlah $2,435 dari rumah majikannya di Perumahan Kampung Rimba pada 19 Ogos 2016 sekitar jam 5 petang.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu rumah sementara sejak Julai 2016 telah memasuki bilik tidur majikannya untuk menutup tabir. Majikannya ketika itu berada di ruang tamu.

Tertuduh terlihat beg di atas katil dan mendapati ia mengandungi wang tunai berjumlah $2,435, dan memutuskan untuk mengambilnya.

Tertuduh kemudian menyimpan wang itu di dalam beg kecil dalam poket seluarnya dan menunggu sehingga jam 7 malam untuk keluar dari rumah majikannya, dan pergi ke Pasar Raya Giant di Rimba.

Kehilangan tertuduh hanya disedari sekitar jam 9 malam apabila anak kepada majikannya pulang ke rumah, yang kemudian turut menyedari wang milik ibunya juga hilang.

Siasatan polis mendedahkan, tertuduh yang ketika itu lari ke Giant Rimba enggan meninggalkan premis pasar raya ketika hendak tutup.

Pengawal keselamatan terpaksa menghubungi polis dan siasatan mendapati tertuduh telah melakukan curi. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor’ Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.

ARTIKEL YANG SAMA