Padah gatal tangan

Padah gatal tangan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman 30 bulan penjara dan lima sebatan, bermula hari ini, selepas Mahkamah Majistret mensabitkannya selepas perbicaraan.

Mohamad Ashri bin Haji Pungut, 44, didapati bersalah mencabul kehormatan rakan sekerjanya berusia 40 tahun, dan juga memukul kepalanya dua kali menggunakan lampu suluh.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan kedai elektronik di Kiulap pada 23 Mei 2015 pada jam 8 malam.

Dia juga disabit melakukan kesalahan meraba punggung mangsa pada 31 Mei 2015 di kawasan letak kereta di Kiulap, dan juga didakwa menunjukkan seluar dalamnya dengan menurunkan seluar pendek yang dipakainya di kawasan kedai elektronik, Kiulap pada 15 Mei 2015 jam 6:30 petang.

pg06_160203_mahkamah logo

Sebelum mensabitkan tertuduh, Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin dalam penghakimannya mendapati pihak pendakwaan mempunyai bukti yang cukup untuk menyokong tuduhan terhadap tertuduh tambahan lagi rakaman televisyen litar tertutup yang dipasang di kawasan tersebut telah mendedahkan tertuduh berada di tempat kejadian.

Terdahulu, tertuduh merayu kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman paling ringan dan sebolehnya hukuman dijalankan secara serentak memandangkan dia pada masa ini menjalani hukuman penjara 15 bulan, bermula 6 Ogos 2015 atas kesalahan menyimpan barang curi diikuti dengan penjara 49 hari lagi bagi kesalahan lalu lintas.

Dia juga merayu supaya hukuman yang dijatuhi itu bermula pada hari pertama dia ditahan reman iaitu pada 2 Jun 2015.

Tertuduh sebelum ini pernah disabit bagi kesalahan Akta Penyalahgunaan Dadah pada 2004.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin.

ARTIKEL YANG SAMA