Padah gugurkan kandungan

Padah gugurkan kandungan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161005_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, menjatuhi enam bulan penjara terhadap seorang perempuan tempatan kerana menggugurkan kandungannya yang berusia enam bulan.

Nuramallinie @ Amal binti Suhaile berusia 22 tahun mengaku bersalah pada 19 September lalu atas pertuduhan menggugurkan kandungannya dengan mengambil pil yang merangsang kontraksi pada rahim sehingga janin itu keluar sebelum tiba masanya.

Terdahulu, Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain menjatuhkan titik permulaan 10 bulan penjara namun mengurangkannya kepada enam bulan selepas tertuduh menjimatkan masa mahkamah dengan membuat pengakuan bersalah.

Tertuduh pada malam 31 Ogos telah membeli pil untuk tujuan menggugurkan anak yang dikandungkannya.

Tertuduh melahirkan anak damit lelaki sekitar jam 7 malam keesokan harinya di tandas sebuah restoran segera di ibu negara.

Kemudian, tertuduh menghubungi bekas tunangnya yang juga ayah kepada anak damit itu, dan memaklumkan mengenai kelahiran itu.

Dia meminta bantuan bekas tunangnya untuk membawanya dan juga anaknya ke Hospital RIPAS.

Tertuduh sebelum ini pernah mengambil pil yang sama untuk menggugurkan kandungannya kali kedua pada awal tahun 2015.

Kes tertuduh disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak dan didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman mengikut Seksyen 312 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

ARTIKEL YANG SAMA