Padah guna pasport orang lain

Padah guna pasport orang lain

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Hasrat seorang lelaki Malaysia yang ingin melihat sebuah kereta yang hendak dijual di negara ini mengundang padah apabila dia bersama rakannya, seorang wanita Malaysia, dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan imigresen, di Mahkamah Majistret, hari ini.

Norsheila binti Kadir, 20, dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan oleh Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli dan juga denda $2,000 atau tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda dalam tempoh satu bulan.

Tertuduh didakwa memasuki Negara Brunei Darussalam pada 13 Mei 2015 tanpa memiliki pas sah, yang dikeluarkan oleh pengawal imigresen negara ini.

Pas lawatan selama 30 hari yang dikeluarkan kepada tertuduh ketika itu adalah tidak sah kerana pegawai imigresen yang bertugas tidak mengetahui pasport yang digunakan oleh tertuduh bukan
miliknya.

Sementara itu, Mohd Shahril Azuwan bin Said, 29, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga kali sebatan yang mana dia didakwa telah bersubahat dengan Norsheila dengan menyediakannya pasport milik orang lain untuk memasuki negara ini.

Ketua Majistret memerintahkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh berkuat kuasa pada hari mereka ditangkap iaitu 14 Mei 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Atiyyah binti Haji Abas dalam fakta kes menyebut, kedua-dua tertuduh tiba di Pos Kawalan Sungai Tujoh dari Miri pada 13 Mei 2015 kira-kira 10 malam.

Mohd Shahril telah mengemukakan dua pasport Malaysia kepada pegawai imigresen bertugas, yang telah memberi mereka pas lawatan selama 30 hari.

Pada 14 Mei 2015 kira-kira jam 1:53 petang di seksyen pelepasan Pos Kawalan Sungai Tujoh, Mohd Shahril telah mengemukakan dua pasport yang sama kepada pegawai imigresen yang
bertugas.

Pegawai imigresen yang melihat Norsheila sedang berbaring terus curiga dan mengarahkan Mohd Shahril untuk meletakkan keretanya di depan.

Pegawai imigresen mendapati ada perbezaan wajah Norsheila dan pada gambar yang tertera di dalam pasport.

Mohd Shahril ketika disoal siasat memberitahu pasport yang digunakan oleh Norsheila adalah milik Susie Anak Sadu dan telah mendesak Norsheila untuk ikut bersamanya ke Brunei dengan menggunakan pasport milik orang lain.

ARTIKEL YANG SAMA