Padah hilang semangat kesukanan

Padah hilang semangat kesukanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Dua pemain Indera SC menerima padah kerana hilang semangat kesukanan dalam aksi Liga Super DST 2016 di Padang Jabatan Belia dan Sukan, Berakas 27 Mac lalu sehingga pengadil membatalkan perlawanan.

Ekoran kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib NFABD telah menegakkan keputusan pengadil untuk membatalkan perlawanan dan pemain Indera SC, Hardi Bujang dan Sahrin Momin dikenakan denda dan gantung perlawanan.

Hardi telah dikenakan denda $500 dan digantung dua perlawanan kerana berkelakuan ganas dan tidak mempamerkan semangat kesukanan. Shahrin pula dikenakan denda $500 dan digantung satu perlawanan akibat salah laku terhadap pegawai perlawanan.

Indera SC dan Kasuka FC pula masing-masing didenda $500 selepas Jawatankuasa Tindakan Tatatertib NFABD memutuskan hukuman pada persidangan semalam.

Pihak yang bersalah bagaimanapun diberikan masa tujuh hari untuk membayar denda dan tempoh tiga hari untuk membuat rayuan dari tarikh pemberitahuan.