Padah memiliki rokok, minuman keras

Padah memiliki rokok, minuman keras

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Seorang mekanik didenda $1,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan tidak membayar cukai untuk minuman keras dan rokok yang dimilikinya.

Luimin bin Kuchong berusia 67 tahun didakwa memiliki 10 paket rokok, 24 tin dan lapan botol minuman keras di dalam keretanya ketika di tahan di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada 2 September 2015 kira-kira jam 8:40 malam.

Fakta kes menyebut, defendan yang merupakan warga tempatan berbangsa Dusun ditahan oleh pegawai kastam ketika kereta yang dipandunya memasuki pos kawalan dari Limbang.

Defendan hanya memberitahu dia tidak ada barang yang hendak diisytiharkan kecuali minuman keras namun pemeriksaan menyeluruh menemui barang yang mencurigakan disimpan di antara petak tempat duduk penumpang belakang.

Defendan mengaku membeli kesemua barang itu di Limbang pada harga $53 untuk dirinya.

Pegawai Pendakwa Kastam memberitahu mahkamah, cukai bagi rokok ialah $50 manakala untuk minuman keras pula ialah $32 selain turut memohon untuk kesemua barang yang dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin memerintahkan defendan untuk membayar denda hari ini atau berdepan dua bulan penjara jika gagal membayar.

Defendan membayar denda tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA