Padah menipu

Padah menipu

BEIJING, 11 Nov (Agensi) – Seramai 254 warga China yang ditahan di Kemboja dan Indonesia kerana menjalankan kegiatan penipuan melalui telefon serta Internet yang menyasarkan mangsa berbangsa Cina, dihantar pulang semalam untuk menghadapi tuduhan di republik itu, kata Kementerian Keselamatan Awam.

Menurut satu kenyataan di laman sesawang kementerian itu, semua suspek diterbangkan ke Beijing dan tiga bandar lain di China pulang menaiki penerbangan sewa khas.

Mereka disyaki menjalankan lebih 4,000 kes penipuan telefon merentasi sempadan yang menyasarkan mangsa di lebih 20 bandar dan wilayah.

Setakat ini tiada maklumat mengenai ciri-ciri skim penipuan dilakukan, walaupun menurut kementerian berkenaan, kes penipuan seumpama itu antara kategori jenayah yang paling cepat berkembang dan kebanyakannya sukar diselesaikan.

Polis di Kemboja berkata, kumpulan itu menjalankan operasi mereka di rumah sewa di bandar pantai peranginan di Sihanoukville. Sehingga kini, pihak berkuasa masih mencari dalang kegiatan itu.

Suspek yang tiba kelmarin adalah yang pertama dihantar pulang sejak kempen baru terhadap kegiatan penipuan telefon dilancarkan bulan lalu. – Agensi
Suspek yang tiba kelmarin adalah yang pertama dihantar pulang sejak kempen baru terhadap kegiatan penipuan telefon dilancarkan bulan lalu. – Agensi

Mereka berkeupayaan mengeksploitasi pemindahan wang dari jarak selamat, menyembunyikan identiti dan sentiasa mengubah ciri-ciri kegiatan itu untuk terus mengelirukan mangsa serta mengelak dikesan, kata Kementerian Keselamatan Awam China.

Suspek mempunyai pelbagai identiti palsu untuk memudahkan mereka mendapatkan maklumat peribadi atau mendesak mangsa memindahkan wang ke dalam akaun bank di luar negara.

Pasukan polis Kemboja berkata semalam, 168 warga China dihantar pulang menaiki dua penerbangan sewa khas selepas ditangkap atas tuduhan menggunakan perkhidmatan Internet untuk memeras wang daripada mangsa berbangsa Cina.