Padah menyamar pegawai imigresen

Padah menyamar pegawai imigresen

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Gara-gara menyamar sebagai pegawai imigresen, seorang lelaki tempatan, hari ini, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abu Sofian bin Haji Mohd Zin, 43, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyamar sebagai pegawai imigresen yang bertugas di Jabatan Imigresen.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di Hua Ho Tanjong Bunut di mana dia mendekati seorang lelaki dan memujuknya untuk memberinya $50 pada 3 Disember 2015 kira-kira jam 12:45 tengah hari.

Ketika rayuan, tertuduh memohon mahkamah supaya dikenakan hukuman paling ringan dan berharap untuk dijatuhi denda sahaja.

Majistret Kanan bagaimanapun menjatuhi hukuman penjara kerana kesalahan tertuduh mencemarkan imej jabatan tersebut merupakan satu kesalahan serius.

pg06_160107_mahkamah logo

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memberitahu mahkamah bahawa laporan psikologi tertuduh telah pun diterima di mana tertuduh dikatakan ‘layak’ untuk dibicarakan.

Menurut fakta kes, tertuduh pergi ke Hua Ho Tanjong Bunut dengan niat untuk menyamar sebagai pegawai imigresen.

Dia mendekati seorang lelaki, Mohammad Azi Yusri bin Mohammad dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai imigresen, dan pada masa yang sama berpura-pura bercakap dengan majikan Mohammad Azi melalui telefon bimbit.

Tertuduh memberitahu Mohammad Azi bahawa majikannya menyuruhnya membayar $50 kepadanya atas urusan rasmi.

Mohammad Azi kemudian memberi tertuduh $50 dan turun ke tingkat bawah, dan tidak lama kemudian menghubungi majikannya untuk memaklumkan bahawa dia telah pun membayar tertuduh seperti yang diarahkan.

Majikannya memberitahu Mohammad Azi bahawa dia tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk mendapatkan pembayaran daripadanya.

Mohammad Azi kemudian melaporkannya kepada polis dan pengawal keselamatan.

Tertuduh berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan yang mengarahkannya untuk naik ke tingkat atas.

Tertuduh mengaku telah menyamar sebagai pegawai imigresen kerana amat memerlukan wang.

Majistret Kanan turut mengarahkan wang $50 itu dikembalikan kepada pemiliknya.

ARTIKEL YANG SAMA