Padah miliki barang tegahan

Padah miliki barang tegahan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Seorang penduduk tetap, hari ini, didenda $5,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memiliki rokok dan minuman keras yang dilarang import.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Soong Yew King, 58, dan turut memerintahkannya untuk menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Defendan bagaimanapun, membayar denda tersebut.

Defendan didakwa memiliki 12 karton dan satu paket rokok, serta 104 tin minuman keras ketika pemeriksaan dijalankan oleh pegawai pencegah kastam di rumahnya di Jalan Bunga Melor, Seria pada 8 Ogos 2015 kira-kira jam 8:45 malam.

p06-3_20150814

Pemeriksaan mendapati rokok-rokok dan minuman keras itu disimpan di tingkat atas dan tingkat bawah bilik tidur, di atas peti sejuk beku dan di dalam peti sejuk.

Fakta kes menyebut, defendan mengaku kesemua barang seludup itu adalah miliknya, yang dibelinya di Miri untuk kegunaannya sendiri.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki tempatan turut didenda $7,200 selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki 18 karton rokok seludup.

Sepawi bin Haji Sibau, 27, dari Kampung Perpindahan Rimba didakwa memiliki rokok-rokok itu dalam satu kotak Seri Murni ketika ditahan oleh beberapa anggota polis dari Unit Simpanan ‘C’ yang membuat rondaan di kawasan Kampung Lumapas pada 27 Julai 2015 kira-kira jam 6:45 petang.

Defendan mengaku membeli kesemua rokok itu di Limbang untuk kegunaannya dan juga untuk dijual.

Majistret Kanan memerintahkan defendan untuk membayar $200 setiap bulan sehingga selesai, dan jika gagal akan berdepan tujuh bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA