Padah miliki Methylamphetamine

Padah miliki Methylamphetamine

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Seorang lelaki tempatan dijatuhi 17 tahun penjara dan tujuh sebat oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki Methylamphetamine untuk tujuan mengedar dan mengambil Methylamphetamine pada 2012.

Hakim Pengiran Hajah Hanani Pengiran Haji Metussain mensabitkan Ahmad bin Haji Mahmud selepas perbicaraan atas tuduhan memiliki 34.4409 gram Methylamphetamine di dalam keretanya untuk tujuan mengedar pada 11 November 2012.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan Kampung Bengkurong kira-kira jam 1:23 pagi. Kesalahan di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 itu membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan lima sebatan, maksimum 20 tahun dan 15 sebatan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah bagi tuduhan kedua iaitu mengambil Methylamphetamine pada tarikh yang sama.

pg06_160115_mahkamah logo2Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 yang membawa penjara maksimum 10 tahun, denda maksimum $20,000, dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya ialah penjara minima tiga tahun.

Menurut fakta kes, sepasukan anggota perisikan narkotik menahan sebuah kereta di Kampung Bengkurong pada 11 November 2012, dan memberkas tertuduh yang cuba melarikan diri.

Tertuduh menyerahkan beberapa bahan dadah kepada anggota perisikan sebelum pemeriksaan dijalankan terhadapnya.

Sampel air kencing yang diambil dari tertuduh ketika di analisa didapati positif mengandungi Methylamphetamine.

Tertuduh sebelum ini pernah mempunyai kesalahan di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh.

ARTIKEL YANG SAMA