Padah miliki minuman keras, rokok seludup

Padah miliki minuman keras, rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150704_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Mahkamah Majistret hari ini, menjatuhkan denda $4,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas seorang lelaki Malaysia kerana memiliki minuman keras yang tidak diisytiharkan.

Han Wan Seng, 64, mengaku bersalah di hadapan Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman atas dakwaan memiliki 64 botol arak pelbagai jenis dan 156 tin minuman keras pada 30 Januari 2013 kira-kira jam 1:34 petang di sebuah rumah di Kota Batu.

Fakta kes menyebut, pegawai pencegah kastam membuat pemeriksaan ke atas rumah defendan dan menemui minuman keras dan botol arak disimpan di dalam bilik tidur. Defendan mengaku telah membeli kesemua minuman keras itu di Limbang untuk kegunaannya.

Defendan bagaimanapun telah membayar denda tersebut.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki tempatan turut dikenakan denda $16,000 atas pertuduhan memiliki rokok seludup. Ampuan Mohd Airmy Rizwandy bin Ampuan Haji Idris, 38, didakwa memiliki 24 karton rokok di sebuah rumah di STKRJ Kampung Tungku pada 16 Jun 2015 kira-kira pukul 4 petang.

Pemangku Majistret Kanan memberi tempoh selama lapan bulan kepada defendan untuk membayar denda, dan jika gagal, akan berdepan 12 bulan penjara.

Berdasarkan fakta kes, pegawai pencegah kastam sebaik menerima maklumat dari orang ramai, telah membuat pemeriksaan ke kediaman defendan dan menemui rokok-rokok itu disembunyikan di atas kabinet dan di bawah tilam di bilik tidur dan juga di dalam mesin cuci pakaian.

Defendan mengaku rokok-rokok itu miliknya, dan membelinya di Limbang untuk tujuan dijual.

ARTIKEL YANG SAMA