Padah miliki minuman keras, rokok seludup

Padah miliki minuman keras, rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Mahkamah Majistret hari ini, menjatuhkan denda $2,000 ke atas seorang lelaki tempatan bagi dua pertuduhan memiliki rokok seludup.

Mohammad Zain bin Haji Muktal, 44, bagi pertuduhan pertama telah didakwa memiliki 25 paket rokok di Bilik Pengawal Keselamatan di The Mall, Gadong pada 12 Disember 2013 kira-kira jam 11:53 pagi.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dua karton rokok di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta berdepan dengan The Mall, Gadong pada tarikh yang sama sekitar pukul 12:25 tengah hari.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli mengarahkan tertuduh untuk membayar denda $100 setiap bulan, dan jika gagal berdepan tiga bulan penjara.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang penduduk tetap juga menerima nasib yang sama apabila dijatuhi denda $5,200 atau berdepan tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah memiliki minuman keras dan botol arak yang tidak diisytiharkan.

Choo Cheok Kin, 65, didakwa memiliki 32 botol arak dan 61 tin minuman keras dalam tiga pertuduhan iaitu pada 20 Ogos 2011, 13 September 2011 dan 5 Mei 2014 di Jalan Pretty, Kuala Belait.

Tertuduh mengaku bahawa kesemua minuman keras itu adalah miliknya yang dibelinya di Miri, dan turut mengaku telah menjual minuman keras itu tanpa lesen.

ARTIKEL YANG SAMA