Padah miliki rokok, arak

Padah miliki rokok, arak

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Gara-gara memiliki rokok dan arak yang tidak dikenakan cukai, seorang lelaki penduduk tetap dijatuhi denda $5,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Lating Anak Angsubak, 56, didakwa memiliki 10 karton dan 16 paket rokok, serta 13 botol arak dalam keretanya pada 25 April 2015 sekitar jam 4:16 petang.

Fakta kes menyebut, defendan ditahan oleh pegawai pencegah kastam di kawasan Kampung Biang Baru, Temburong, di mana pemeriksaan menemui sejumlah rokok dan arak yang disimpan di beberapa bahagian dalam kereta.

Defendan mengaku kesemua rokok dan minuman arak itu miliknya untuk tujuan dijual.

Pegawai Pendakwa Kastam memberitahu mahkamah cukai yang seharusnya dibayar oleh defendan untuk rokok-rokok yang dibawa masuk ialah $550, manakala cukai untuk arak ialah $126.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin memberi tempoh sehingga 16 Disember 2016 untuk defendan membayar denda atau berdepan lima bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA