Padah miliki rokok seludup

Padah miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat & Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan ke atas seorang lelaki Indonesia selepas gagal membayar denda sebanyak $39,600 atas tuduhan memiliki rokok seludup.

Ahmad Wahyudi, 36, berdepan pertuduhan memiliki 107 karton rokok pada 23 Jun 2015 kira-kira 10:40 malam di bilik sewanya di Kampung Pulaie.

Fakta kes menyebut, pegawai pencegah kastam telah membuat pemeriksaan ke atas bilik sewa tertuduh di mana mereka mendapati rokok-rokok itu disimpan dalam kotak di bilik tertuduh.

Tertuduh yang bekerja sebagi buruh di Syarikat Pengangkutan Danau mengaku membeli rokok itu daripada seorang lelaki Malaysia di negara ini untuk tujuan dijual dan juga untuk kegunaan sendiri.

Hukuman penjara telah dijatuhkan oleh Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Belait, hari ini, seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda $16,000 atas kesalahan cuba membawa masuk secara haram sejumlah 40 karton rokok melalui Pos Kawalan Sungai Tujuh di sini pada tahun 2011.

Fabian Alam Anak Luta, berasal dari Kampung Sungai Mau Labi, telah mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Majistret Belait, memiliki rokok tidak diisytiharkan yang ditemui disimpan dalam empat bahagian berasingan dalam keretanya pada 7 September 2011 lalu.

Semasa siasatan, defendan mengaku telah membeli rokok-rokok berkenaan pada harga $430 di Miri, Sarawak, tetapi pada prosiding, hari ini, dia mendakwa bahawa rokok-rokok berkenaan adalah untuk “kegunaan sendiri”.

Majistret Kuala Belait, Harnita Zelda Skinner juga menolak permintaan Fabian untuk membayar denda itu secara ansuran sebanyak $200 sebulan, dan memerintahkannya membayar denda pada 23 Disember atau menghadapi hukuman penjara selama 12 bulan.

Fabian didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 146(1)(i) Perintah Eksais 2006, dan merupakan kesalahan pertama.

Menurut dokumen mahkamah, Fabian telah memberitahu pegawai kastam yang dia tidak mempunyai barangan untuk diisytiharkan semasa masuk melalui Pos Kawalan Sungai Tujuh empat tahun lalu, bagaimanapun setelah pemeriksaan dilakukan ke atas keretanya, didapati empat karton rokok disembunyikan di bawah tikar tempat duduk penumpang dan empat karton lagi disimpan di dalam beg yang diletak di tempat duduk penumpang bahagian belakang, manakala 11 karton lagi disembunyikan di bahagian belakang kereta, dan 17 karton lainnya disembunyikan di ruang menyimpan tayar gantian kereta.