Padah miliki rokok seludup

Padah miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150828_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Gara-gara memiliki rokok seludup, seorang wanita tempatan dijatuhi denda $16,800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Siti Liyana binti Inchut, 25, dari Kampung Kiulap didakwa memiliki 37 karton dan 69 paket rokok ketika pemeriksaan dijalankan oleh pegawai pencegah kastam di kediamannya pada 11 Mei 2015 sekitar jam 10:35 pagi.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan defendan untuk membayar $500 setiap bulan atau berdepan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Dalam fakta kes, defendan mengaku membeli rokok itu di Limbang pada harga RM17 hingga RM23 untuk satu karton rokok yang mana kesemua rokok adalah untuk dijual.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Kuala Belait, seorang lelaki tempatan dikenakan hukuman denda $13,200, atas kesalahan memiliki rokok yang tidak dikenakan cukai.

Mazwandi bin Suhaili, 33, didakwa memiliki 30 karton rokok pada 15 Jun 2015 sekitar jam 9 malam di kawasan Pos Kawalan Sungai Tujoh.

Mahkamah memberi tempoh 10 bulan kepada defendan untuk membayar denda atau berdepan lima bulan penjara.

Kertas pertuduhan menyebut, pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta defendan menemui rokok-rokok itu disimpan di bahagian tayar ganti kereta.

Defendan ketika disoal siasat mengaku kesemua rokok itu adalah miliknya yang dibelinya di Miri.