Padah miliki rokok seludup

Padah miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Seorang lelaki Malaysia terpaksa meringkuk di penjara selama sembilan bulan selepas gagal untuk membayar denda $91,200 yang dijatuhi Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki rokok seludup pada 2013 dan 2014.

Julaidi bin Kahar, 37, didakwa memiliki lima karton dan 31 paket rokok di kawasan perkhidmatan cuci kereta, Batu Bersurat pada 24 Ogos 2013 kira-kira jam 11:10 pagi.

Pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai pencegah kastam di kawasan itu menemui rokok-rokok disimpan di atas dan dalam kabinet, dan juga di atas meja.

Defendan ketika itu mengaku kesemua rokok itu miliknya yang dibelinya daripada seorang lelaki yang bernama Sengoi. Cukai untuk rokok itu ialah $372.

Untuk tuduhan kedua, defendan didakwa memiliki 235 karton rokok dalam sebuah kereta di kawasan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja pada 17 November 2014 kira-kira jam 8:10 malam.

Pemeriksaan oleh pegawai pencegah kastam menemui rokok-rokok itu dalam but kereta dan di tempat duduk penumpang belakang.

Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu daripada seseorang yang tidak dikenalinya di Limbang.

Cukai yang seharusnya dibayar oleh defendan untuk membawa masuk rokok itu ialah $10,650. Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman mengarahkan kesemua rokok yang dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA