Padah miliki rokok seludup

Padah miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman denda $28,800 ke atas seorang lelaki tempatan bagi kesalahan memiliki pelbagai jenis rokok seludup.

Mohamed bin Tanji, 55, dari Kampung Sungai Besar menghadapi pertuduhan memiliki 74 karton dan 13 paket rokok pada 23 Oktober 2014 kira-kira jam 1 pagi di kediamannya. Tertuduh didapati menyembunyikan rokok itu di bahagian bawah lantai di dalam bilik tidur ketika pemeriksaan dijalankan oleh pegawai daripada unit pencegah kastam dan anggota penguat kuasa dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam satu operasi.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memberi tempoh sehingga Februari 2016 untuk defendan membayar denda, dan jika gagal berdepan 14 bulan penjara.

Defendan mengaku bahawa kesemua rokok itu miliknya untuk tujuan dijual yang dibelinya daripada seorang rakan bernama Ah Chai pada harga $300.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang pelajar tempatan berusia 24 tahun juga dikenakan denda $5,400 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki rokok seludup.

Muhammad Khairul Anuar bin Affandi dari Kampung Perpindahan Lambak Kanan didakwa memiliki 14 karton dan satu paket rokok pelbagai jenis ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 23 Januari 2013 sekitar jam 4:18 petang.

Pegawai kastam bertugas menemui rokok-rokok disembunyikan dalam beg di dalam but kereta, dalam ruang tayar ganti dan di dalam kotak konsol kereta.

Tertuduh merayu kepada mahkamah untuk membayar denda itu secara ansuran dengan alasan dia masih belajar dan sedang menjalani penempatan kerja di Kuala Belait, tambahan lagi dia hanya menerima elaun sebanyak $105.

Pemangku Majistret Kanan memberi tempoh enam bulan kepada defendan untuk membayar denda tersebut, dan jika gagal berdepan lima bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA