Padah miliki rokok tanpa pengisytiharan

Padah miliki rokok tanpa pengisytiharan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160302_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seorang lelaki tempatan yang berdepan kesalahan memiliki rokok yang tidak diisytiharkan telah diarahkan untuk menjalani hukuman penjara 10 bulan, bermula hari ini.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memutuskan hukuman itu ke atas Asry bin Awang Norsidi, 25, selepas dia yakin bahawa defendan tidak mampu membayar denda meskipun diberi tempoh. Asry didakwa memiliki 42 karton rokok ketika ditahan oleh pegawai kastam di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 16 Februari 2016.

Dia memberitahu pegawai yang bertugas bahawa but kereta yang dipandunya itu rosak dan tidak dapat dibuka, dan memberitahu ‘tidak ada apa-apa di dalamnya’ ketika ditanya mengenai isi kandungannya.

Sebaik pemeriksaan dijalankan, pegawai bertugas menemui sejumlah karton rokok disimpan dalam beg plastik berwarna hitam dalam but kereta tersebut.

Dia mengaku membeli rokok itu di Limbang untuk dirinya dan juga untuk dijual kepada rakan-rakannya. Terdahulu, defendan merayu supaya hukuman diringankan dan sanggup membayar denda serendah $200 ke $350 setiap bulan.

Defendan yang tidak be-kerja memberitahu dia boleh mendapat duit dengan turun ke laut dan juga memperbaiki alat penghawa dingin.

“Jumlah $200 ke $350 masih rendah dan akan mengambil masa yang lama untuk habis,” kata Ketua Hakim yang tidak yakin dengan defendan, dan memutuskan untuk defendan menjalani penjara sahaja.