Padah miliki rokok

Padah miliki rokok

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151202__mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Gara-gara memiliki sejumlah rokok yang tidak diisytiharkan, seorang lelaki tempatan menerima padahnya hari ini apabila Mahkamah Majistret menjatuhi denda $2,800 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Sufian bin Haji Ismail, 40, didakwa memiliki lapan karton dan sembilan paket rokok dalam keretanya ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 2 Februari 2015. Fakta kes menyebut, rokok-rokok ditemui disimpan dalam but dan juga dalam konsol kereta di mana defendan memberitahu dia membelinya di Limbang dengan harga $99.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memberi tempoh sehingga hujung April 2016 kepada defendan untuk membayar denda atau berdepan dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu. Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki tempatan dikenakan $3,200 atas kesalahan memiliki sembilan karton rokok.

Mohammad bin Timbang, 52, didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 November 2015 di Pos Kawalan Kuala Lurah.

Pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai kastam menemui rokok-rokok itu disimpan di tempat duduk penumpang depan, bawah tempat duduk pemandu dan tempat duduk penumpang belakang.

Majistret Dewi Norlelawati memberi tempoh sehingga hujung Februari 2016 untuk membayar denda, jika gagal akan berdepan tiga bulan penjara, dan mengarahkan kesemua rokok dalam senarai rampasan itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA