Padah miliki ...

Padah miliki senapang

Oleh Arissa

 

LAWAS, 14 Feb – Hasrat seorang buruh untuk pergi  berburu dengan membawa senapang  buatan sendiri dengan menunggang motosikal hanya mengundang padah selepas beliau ditahan polis kerana memiliki senjata api di Kilometer 17 Jalan Lawas Merapok pagi tadi.

Suspek lelaki, 27, dari Kampung Seberang Kedai Lawas ditahan pada 10:30 pagi, semasa membawa senjata berkenaan dengan menunggang motosikal menuju ke Kampung Meragang Lawas.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hasil siasatan awal mendapati senjata api buatan sendiri itu digunakan untuk berburu.

“Ketika kejadian suspek sedang menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar dengan membawa selaras senapang buatan sendiri yang diletakkan di atas kedua pahanya.

“Siasatan awal mendapati senjata api itu digunakan suspek bersama rakannya untuk memburu di kawasan Bukit Kelawar Lawas  sebelum ditangkap semalam,” jelasnya lagi hari ini.

BUATAN SENDIRI...Senapang buatan sendiri yang dirampas daripada suspek.
BUATAN SENDIRI…Senapang buatan sendiri yang dirampas daripada suspek.

Polis turut merampas sebutir peluru jenis 12 bore berwarna merah yang masih belum digunakan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Dalam kes berasingan,  Abang Zainal juga menjelaskan dua penganggur yang juga  positif  Ampethamine telah ditahan di dalam sebuah rumah dalam satu serbuan malam tadi.

Katanya hasil siasatan awal mendapati  rumah berkenaan kerap dijadikan tempat untuk melakukan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan penagih tegar.

Kedua suspek lelaki, masing-masing berasal dari Sundar berusia 19, dan dari kampung Serdang 20, ditahan polis dalam serbuan itu.

Hasil pemeriksaan polis, jelasnya lagi, telah menjumpai satu plastik lut sinar yang mengandungi dua keratan straw berwarna hijau muda berisi dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam poket seluar sebelah kiri suspek berusia 19 tahun.

“Manakala  tiga  tiub straw berwarna hijau muda yang berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu dijumpai di bahagian tempat duduk suspek berusia 20 tahun.

“Berat kasar keseluruhan dadah berkenaan yang dirampas dari kedua-dua suspek adalah 0.6 gram,” katanya.

Salah seorang suspek katanya pernah ditahan atas kesalahan yang sama sebelum ini. Kedua mereka dibawa ke balai polis Lawas untuk tindakan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

ARTIKEL YANG SAMA