Padah pecah amanah

Padah pecah amanah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Seorang juruwang telah dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, selepas disabit bersalah atas tuduhan pecah amanah enam tahun yang lalu dengan membabitkan wang berjumlah lebih $54,000.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin mendapati Mohamad Yusmin Hatta bin Mohd Yusop, 31, bersalah kerana melakukan pecah amanah wang sebanyak $54,901.75 sen milik Baiduri Finance Berhad antara Mac dan Julai 2010.

Hakim dalam penghakimannya berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya mengemukakan elemen-elemen kesalahan terhadap tertuduh sekali gus membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

pg06_160915_mahkamah-logo

“Tertuduh adalah seorang yang licik dan tidak boleh dipercayai apabila dia mengambil peluang untuk menyalahgunakan sistem komputer bank untuk kepentingan diri sendiri,” kata Hakim sambil mempersoalkan kelewatan kes itu dihadapkan ke mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah binti Pehin Dato Haji Suhaili memaklumkan bahawa Unit Siasatan Jenayah Perdagangan, Pasukan Polis Diraja Brunei perlu menjalankan siasatan terlebih dahulu ke atas bank dan bank-bank yang lain untuk mengesan akaun tertuduh.

Kes itu hanya dapat dihadapkan pada Jun 2015, katanya. Hakim memerintahkan hukuman tertuduh dikuatkuasakan segera.

ARTIKEL YANG SAMA