Padah provokasi

Padah provokasi

BARCELONA, 28 Julai (Reuters) – Finalis Piala Raja Sepanyol musim lalu, Barcelona dan Athletic Bilbao berkemungkinan didenda selepas peminat kedua-dua kelab La Liga itu didakwa melakukan provokasi bermotifkan politik pada pertembungan final Piala Raja di Nou Camp, Mei lalu.

Perkara itu disahkan oleh pihak berkuasa Sepanyol, hari ini dengan peminat kedua-dua kelab La Liga itu dikatakan melakukan siulan dan ejekan terhadap Raja Sepanyol, King Felipe V yang juga penaung piala terbabit selain memaparkan kain rentang berunsurkan politik.

Selain Barca dan Bilbao, Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) juga dikatakan akan turut didenda.

Pada perlawanan yang menyaksikan Barca muncul pemenang, nyanyian lagu kebangsaan Sepanyol dilaporkan tenggelam akibat tindakan terbabit dengan bendera anti Sepanyol juga dilihat dikibarkan segelintir penonton.

Kedua-dua kelab berasal daripada daerah komuniti autonomi, Catalonia dan Basque sudah pun diberi amaran akan didenda sekiranya gagal mengawal tingkah laku penyokong masing-masing.

Suruhanjaya negara terhadap keganasan kini menetapkan Barca dikenakan denda 66,000 euro, Bilbao 18,000 euro dan RFEF yang juga penganjur pertandingan terbabit dikenakan denda 123,000 euro. Setiausaha Negara Sepanyol untuk sukan, Miguel Cardenal menyokong hukuman terbabit.