Padah rogol anak sendiri

Padah rogol anak sendiri

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Seorang bapa dihukum penjara 12 tahun dan 12 sebatan dalam kes haruan makan anak, setelah mengaku salah di Mahkamah Tinggi, hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya.

Dalam pertuduhan pertama, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun antara Mac 2013 dan 2014 di bilik tamu rumah mereka di Daerah Brunei dan Muara.

Tertuduh, dalam tuduhan kedua, juga mengaku salah merogol anak perempuannya pada Februari 2015 di rumah yang sama ketika anaknya berusia 12 tahun. Mangsa merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik.

Dalam sebutan terdahulu, tertuduh memberitahu mahkamah, dia tinggal sebumbung bersama isterinya tetapi di bilik berasingan.

Isterinya yang dikahwininya selama 15 tahun tidak lagi menghiraukan dirinya sebagai suami malah tidak peduli akan anak-anaknya.

pg06_151014_mahkamah logo

Tertuduh menyuarakan rasa kesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

“Perbuatan kamu mungkin tidak akan diketahui jika tidak kerana keprihatinan guru sekolah yang mendapati prestasi pelajaran mangsa semakin menurun.

“Apa yang dilakukan kamu adalah perbuatan yang sangat keji,” kata Hakim Pengiran Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman sambil menambah seorang bapa sepatutnya menjaga dan melindungi anaknya bukan sebaliknya.

Hakim percaya mangsa mengalami trauma dalam jangka panjang dan meminta Timbalan Pendakwa Raya Nurjauinah binti Haji Kula untuk memaklumkan kepada pihak berkenaan untuk membantu bagi pemulihan mangsa.

ARTIKEL YANG SAMA