Padah salah guna visa

Padah salah guna visa

JAKARTA, 11 Nov (AFP) – Dua wartawan Britain yang dipenjarakan di Indonesia kerana bekerja tanpa visa teratur telah dihantar pulang, menurut peguamnya hari ini.

Neil Bonner, 32 tahun, dan Rebecca Prosser, 31 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua bulan setengah kerana menyalahgunakan visa pelancong mereka untuk membuat dokumentari tentang kegiatan lanun dekat pulau barat Batam.

Wartawan-wartawan asing yang mahu melaporkan di Indonesia mesti mendapat visa khas.

Kedua-dua mereka itu, yang ditahan sejak Mei hampir empat bulan lebih lama dari hukuman mereka meninggalkan Indonesia pada petang Selasa lalu.

“Mereka berlepas pada waktu tengah malam dengan menaiki penerbangan Emirates menuju London melalui Dubai,” peguam mereka Aristo Pangaribuan memberitahu AFP.

Pendakwaan mengatakan dua wartawan dari Britain itu datang ke Indonesia untuk membuat filem dengan pembiayaan daripada National Geographic dan telah mengupah warga Indonesia untuk melakonkan semula adegan dari satu kejadian sebuah kapal tangki sedang dinaiki oleh sekumpulan lanun di perairan Batam.

Mereka yang ditahan sebelum ini kerana membuat laporan tanpa kebenaran telah dihantar pulang segera atau dijatuhi hukuman penjara bagi tempoh singkat.

Dua wartawan Perancis dijatuhi hukuman penjara dua bulan setengah bulan lalu selepas ditangkap di wilayah Papua, Indonesia ketika cuba membuat dokumentari tentang pergerakan pemisah ketika memegang visa pelancong.